Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas hampir 25 tahun dipinggirkan, pengarah Nasir Jani ibarat rama-rama yang sedang perlahan-lahan keluar dari kepompongnya sebelum mengibas sayap berwarna-warni.

Melalui pelbagai pengalaman rencam, Nasir, 62, pernah berasa peluangnya untuk kembali memeriahkan dunia seni di negara ini hampir tertutup sama sekali.

Namun tidak disangka, Nasir membuat kemunculan semula dalam bidang pengarahan filem selepas didatangi syarikat produksi Layar Sunan pada 2010.

Nasir ditawarkan mengarah filem adaptasi novel Tombiruo: Penunggu Rimba.

“Saya sememangnya mencari peluang dan ternanti-nanti pihak yang sudi menyerahkan tanggungjawab sekali lagi sebagai pengarah.

“Apabila mendapat tawaran itu perasaan saya amat teruja kerana ada pihak masih yakin Nasir Jani ini seorang pengarah yang boleh berubah,” katannya.

Nasir pernah menghasilkan Kembara Seniman Jalanan pada 1986 yang menimbulkan beberapa kontroversi. Antaranya filem itu dikatakan ditolak pencalonannya dalam festival filem atas sebab tertentu.

Setahun kemudian Nasir kembali lagi dengan filem keduanya Rozana Cinta 87.

Papar unsur mistik

Pelbagai insiden kontroversi bukan saja melibatkan filem Nasir, malah dia sendiri selalu menjadi perhatian - antara lain kerana sikapnya yang enggan berkompromi dengan aktiviti cetak rompak.

Nasir turut pernah mengarah drama seperti Samudera Gagah pada 1990 dan terakhir Lela Sari (1991) serta menjadi penulis lirik lagu, sebelum dia mengambil keputusan untuk berehat daripada terlibat secara langsung dengan dunia hiburan.

Tombiruo: Penunggu Rimba adalah naskhah adaptasi daripada novel thriller karangan Ramlee Awang Murshid.

Filem berkenaan turut mendapat sentuhan Seth Larney sebagai pengarah bersama dan penyelia kesan khas.

Larney pernah terlibat dalam beberapa filem Hollywood seperti The Matrix Reloaded, Star Wars: Revenge of the Sith, X-men Origins: Wolverine dan Superman Returns.

Antara pelakon yang menjayakan filem itu ialah Zul Ariffin (membawa watak Tombiruo atau Ejim), Faizal Hussein (Pondolou), Nabila Huda (Wan Suraya), Hasnul Rahmat (Juslan), Datuk M Nasir (Tan Sri Berham) dan isteri Marlia Musa (Bonda).

Filem aksi yang memaparkan unsur mistik dan adab masyarakat Borneo itu sudah memulakan penggambaran sejak 31 Julai lalu di sekitar kawasan hutan di Lembah Klang dan Sabah. Ia djangka siap sepenuhnya pada 2017.

Menurut Nasir, meskipun usianya sudah menginjak 60-an, dia yakin kemantapan idea, kreativiti dan kualiti yang dipersembahkan dalam Tombiruo: Penunggu Rimba boleh dilaksanakan seiring perkembangan zaman.

“Secara jujurnya saya memang 'takut' memikirkan bagaimana penerimaan penonton atas hasil kerja itu nanti, memandangkan umur saya yang sudah 60-an tetapi semangat dalam bidang pengarahan tidak pernah pudar.

“Dan apabila kali ini mendapat bantuan daripada Larney saya semakin yakin boleh menghasilkan sesuatu dengan lebih baik,” katanya.

Lihat Komen
ADS