Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Program World #QuranHour yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini turut menarik minat dan penyertaan beberapa selebriti tempatan dan pendakwah bebas.

Rata-rata menyifatkan program julung kali itu, yang berlangsung serentak di seluruh negara dan di 50 negara luar, sebagai platform terbaik dalam mengajak umat Islam kembali kepada al-Quran sekaligus menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias yang turut berpeluang menjadi salah seorang daripada 12 pembaca surah pembukaan semasa program perdana itu mengakui teruja apabila terpilih untuk membaca ayat Al-Quran di hadapan lebih 4,000 peserta.

"Hari ini merupakan antara titik permulaan bagi saya untuk terus memahami dan mendalami al-Quran. Ribuan manusia hadir dan berkumpul membuka mata saya bahawa perpaduan umat Islam berdasarkan al-Quran itu sungguh hebat," katanya yang mengalunkan surah Al-Asr.

Penyanyi Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, yang hadir bersama suami turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai program itu yang disifatkan sebagai 'penyatu hati umat Islam'.

"Walaupun hari minggu, saya hadir bersama suami kerana tidak mahu lepaskan peluang untuk bergaul dengan orang yang baik-baik. Lebih istimewa, program ini diadakan ketika umat Islam berhimpun di Padang Arafah (Hari Wukuf 9 Zulhijjah) dan kita dapat bersama-sama berkongsi pengalaman dan doa," katanya.

Martabatkan al-Quran

Pelakon Datuk Rosyam Nor pula berkata program bacaan al-Quran yang diperdengarkan secara serentak selama satu jam bermula 9 pagi tadi, dilihat berjaya menyatukan umat Islam seluruh negara.

"Saya melihat World #QuranHour mampu menyemai perasaan suka dan cinta kita terhadap al-Quran...mungkin hari ini kita baca (al Quran) satu jam...mungkin esok akan lebih lagi, dan bukan hanya membaca tetapi mengerti maksud di sebaliknya untuk dijadikan panduan hidup.

"Banyak manfaat dan kelebihan yang akan kita perolehi sekiranya kita mengamalkan bacaan al-Quran...al-Quran merupakan milik kita orang Islam dan saya menyeru masyarakat untuk terus memartabatkan kitab suci ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program serupa di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Atlet berbasikal negara Azizulhasni Awang pula berpendapat World #QuranHour perlu diteruskan kerana ia dilihat mampu mengangkat imej Islam di mata dunia selain menepis tanggapan negatif yang mengaitkan agama itu dengan kegiatan keganasan.

"Al-Quran merupakan panduan terbaik buat umat Islam yang mana akan membawa kita ke arah kebaikan...mendekatkan diri dengan al Quran secara tidak langsung turut membendung kita daripada melakukan perkara yang salah," katanya.

Sementara itu Muhammad Asyraf Mohd Rizuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf berkata program itu bagaikan satu suntikan kepada umat Islam untuk terus menjadikan al-Quran sebagai sebahagian daripada keperluan asas kehidupan.

Katanya, mesej di sebalik kesepakatan umat Islam seluruh dunia memilih waktu yang sama untuk membaca Al-Quran menjelaskan bahawa kalam suci itu merupakan panduan utama kehidupan seorang Muslim.

Membuka mata dan jiwa

Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman pula menyifatkan program itu membuka minda umat Islam untuk berinteraksi dengan Al-Quran.

"Ada orang tidak boleh baca al-Quran tetapi ia tidak menghalang daripadanya berinteraksi dengan al-Quran lebih-lebih lagi apabila bacaan hari ini turut disertakan dengan terjemahan.

"Ia telah membuka mata dan jiwa pelbagai lapisan masyarakat untuk memahami dan terus belajar al-Quran - simbol penyatuan masyarakat sedunia," katanya.

Penceramah dan pendakwah bebas Mohammad Rozie Mohd Rejab turut menyeru masyarakat meluangkan lebih masa untuk membaca al-Quran bagi melahirkan generasi yang mempunyai akhlak dan nilai diri yang baik berlandaskan al-Quran.

World #QuranHour yang disiarkan secara langsung oleh TV3 merupakan kesinambungan inisiatif sejak 2013 menerusi Program #AktifkanRumahNgaji serta program #MalaysiaNgaji yang diadakan pada setiap 24 Ramadan.

Hari ini, 11 Sept dipilih bagi program World #QuranHour kerana ia bertepatan dengan tarikh 9 Zulhijah dalam kalendar Islam, hari jemaah haji melakukan wukuf di Arafah.

-Bernama

Lihat Komen
ADS