Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Subjek seni, budaya harus diwujudkan di sekolah

Walaupun Mak Yong diiktiraf sebagai Warisan Tidak Ketara oleh UNESCO sejak 2005, masih ramai rakyat negara ini yang kurang peka terhadapnya, malah tidak mengenali mahupun menonton persembahannya.

Keadaan ini berlaku kerana masyarakat tidak didedahkan dengan keunikan seni persembahan Mak Yong yang meliputi gabungan tarian, nyanyian dan lakonan serta bagi menjamin warisan negara ini agar tidak lenyap ditelan zaman.

Untuk itu, penggiat terkenal persembahan Mak Yong, Rosnan Abdul Rahman menyarankan agar Kementerian Pendidikan mengadakan mata pelajaran berkaitan seni dan budaya di sekolah rendah dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap warisan itu.

"Seni persembahan masyarakat majmuk lain seperti persembahan opera Cina dan tarian klasik tradisional India juga semakin terhakis dan keadaan ini amat membimbangkan kerana masyarakat tidak lagi menghargai warisan seni budaya.

"Dengan adanya subjek seni budaya diajar di sekolah, saya yakin mereka dapat memahami dan mengenali dengan lebih dekat warisan seni budaya yang ternyata indah dan menarik untuk dihayati," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Rosnan yang merupakan lulusan jurusan seni bina dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang bergiat aktif dalam seni persembahan Mak Yong berpendapat pengenalan subjek seni dan budaya di sekolah bukan sahaja mampu memupuk minat generasi muda menghargai seni rakyat, malah dapat menggelakkan mereka dilabelkan sebagai 'buta budaya'.

Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, agensi atau syarikat pelancongan memperhebatkan pelancongan budaya yang menawarkan pakej melancong sambil memperkenalkan warisan seni dan budaya negara ini.

Auditorium khas

Beliau berkata sebuah auditorium khas perlu dibina bagi mementaskan warisan seni dan budaya negara dalam usaha memartabatkan semula kegemilangan seni rakyat itu termasuk Mak Yong.

"Langkah sebegini mampu menghidupkan kembali seni dan budaya yang semakin terhakis dan ia juga mampu menarik lebih ramai pelancong luar untuk datang melawat negara ini kerana banyak seni persembahan budaya masyarakat yang menarik untuk ditonton.

"Pihak bertanggungjawab mungkin boleh mengambil inspirasi kejayaan pentas tarian kecak di Bali, Indonesia yang tidak putus-putus menerima sambutan hebat daripada pelancong asing sehingga membuatkan ia menjadi daya tarikan utama untuk melawat lokasi pelancongan berkenaan," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa sedih melihat sikap masyarakat yang hanya mahu menonton teater Mak Yong jika ia membariskan selebriti popular.

"Cubaan saya untuk mempromosi teater Mak Yong secara komersial dalam beberapa program hiburan gagal kerana tidak menampilkan selebriti popular dalam persembahan itu dan ini mungkin menyebabkan ia kurang mendapat sambutan," katanya.

Rosnan berkata walaupun Mak Yong masih kurang diberi perhatian masyarakat, semangatnya untuk terus memperjuangkan Mak Yong tidak akan luntur dan berharap tarian tradisional warisan negara itu dapat memikat hati masyarakat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS