Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Di sebalik menanti penuh debaran untuk merebut gelaran pelawak bertaraf antarabangsa, Harith Iskander mengaku cukup berbesar hati mendapat sokongan padu rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakangnya.

Harith yang juga seorang pelakon dan pengacara tidak menyangka dirinya masih relevan sementelah usia perjuangannya sebagai pelawak sudah mencecah 26 tahun.

“Ketika berjalan di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini, saya begitu terkejut apabila beberapa individu tidak dikenali menghampiri lalu mengucapkan selamat berjaya.

“Boleh dikatakan lapan daripada 10 orang yang berjalan berhampiran saya akan berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada sekitar Mei lalu, Harith memberitahu dia menyahut cabaran penganjur Laugh Factory bagi pertandingan Funniest Person In The World dengan menghantar klip video berdurasi tidak lebih tiga minit.

Katanya, dia perlu berentap dengan 89 pelawak dari 56 negara pada pusingan pertama sebelum mara ke separa akhir dan seterusnya final bagi membawa pulang hadiah utama iaitu cek bernilai ASD$100,000 (RM400,000).

Pemenang yang diumum berjaya masuk ke peringkat akhir - dijadual berlangsung di Helsinki, Finland pada 4 Disember - akan turut membawa pulang trofi dan berpeluang mengadakan persembahan jelajah di AS.

Untuk pusingan pertama yang bermula sejak 2 September lalu dan dijangka berakhir pada 2 Oktober depan, Harith, dilihat berjaya mencapai lebih 2 juta mata menerusi undian atas talian.

Menurut Harith, galakan juga datang dari tokoh seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan pemilik syarikat penerbangan Air Asia Tan Sri Tony Fernandes.

Malah bukan itu saja katanya, kanak-kanak yang mempunyai akses untuk melayari Internet juga semakin mengenali nama Harith Iskander.

Harith sebenarnya turut bersaing dengan pelawak Jason Leong apabila doktor itu juga terpilih untuk menghantar penyertaan mewakili Malaysia.

Bagi Harith, sekiranya kemenangan berpihak pada dirinya, ia bakal menjadi penanda aras kariernya sebagai pelawak.

“Kalaulah berjaya memenangi acara itu, saya berasakan ada sesuatu yang dapat dicapai selepas lama menceburi bidang ini.

“Sila layari www.voteforharith.com untuk mengundi.

“Niat saya bukan menang untuk suka-suka tetapi sekaligus ingin mengharumkan nama Malaysia dan memberitahu negara luar kita mempunyai seorang pelawak bertaraf dunia,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS