Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyanyi popular Anuar Zain meminta peminat berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai dirinya dengan menggunakan akaun palsu di media sosial.

Anuar berkata dia bimbang sekiranya peminat mendapat maklumat tidak benar berkenaan dirinya menerusi akaun palsu berkenaan, khususnya di laman Instagram.

Justeru Anuar mengingatkan mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Terima kasih kepada yang melawat akaun Instagram saya.

“Saya harus menguar-uarkan mengenai akaun palsu itu kerana mesej di dalamnya bukan datang dari saya.

“Ini boleh menimbulkan kekeliruan peminat,” katanya kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, Anuar mengumumkan dia secara rasmi memiliki akaun Instagram menggunakan nama @anuarzainnetwork yang dibuka sejak 7 September.

Dalam tempoh seminggu, akaun yang setakat ini baru mengandungi 32 gambar itu mencecah pengikut 10,000 orang.

Menerusi semakan Malaysiakini ada sekurang-kurangnya tiga akaun menggunakan nama Anuar Zain iaitu @anuarzainofficial, @anuarzainetwork dan @anuarzain.official.

Walaupun perkembangan teknologi semakin pesat, Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain, 46, sebelum ini merasakan dia tidak perlu memiliki akaun Instagram kerana tiada perkara penting untuk dikongsikan.

Bagaimanapun, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu berubah fikiran selepas mendapati ia boleh dijadikan platform berguna untuk berkongsi perkembangan terbaru terutama selepas melancarkan album kelimanya, Anuar Zain.

Namun, Anuar turut meluahkan rasa khuatir sekiranya susah-payahnya selama ini bagi membina kerjaya dimusnahkan sekelip mata oleh pihak yang mempunyai kepentingan.

“Mungkin kesan buruk boleh menimpa karier saya, justeru perasaan ikhlas teramat penting.

“Diharap pemegang akaun palsu sedar perkara ini tidak elok dan hentikan daripada terus-menerus berbuat demikian,” katanya yang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seandainya timbul kesukaran kelak.

Lihat Komen
ADS