Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Soo Wincci miliki PhD, diiktiraf Malaysia Book Of Records
Diterbitkan:  Oct 26, 2016 1:01 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Orangnya bukan sahaja cantik dan bijak, malah pakej itu kini menjadi lengkap dengan gelaran Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh lima hari lagi apabila Dr Soo Wincci menghadiri majlis konvokesyen di Open University Malaysia (OUM).

Penyanyi itu juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Miss World Malaysia pertama menamatkan pengajian peringkat PhD pada 31 Oktober ini.

Menerusi media sosial, Soo berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik sekeping imej topi konvo.

Imej berkenaan memaparkan perkataan: “Selamat tinggal Soo Wincci Hi Dr Soo Wincci 31 Oktober 2016.”

Dengan keinginan tinggi sebelum ini, Soo, 30, berazam dapat memberi sumbangan terhadap industri hiburan tempatan apabila dia memulakan pengajian pada 2010.

Sehubungan itu, Soo memilih Strategi-strategi Penjenamaan Peribadi Selebriti Terhadap Media Sosial Atas Talian sebagai topik kajian.

Bertempat di institusi pengajian sama, Soo sebelum ini pernah menerima PhD dalam Pentadbiran Perniagaan.

Untuk makluman, Soo juga adalah pelajar kelulusan undang-undang dari University of Reading (UK) selain mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Sunshine Coast, Australia.

Soo dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2008 dan kemudian - pada tahun sama - dia mewakili Malaysia ke pertandingan Ratu Cantik yang diadakan di Johannesburg, Afrika Selatan.

Selain menjadi model dan menyanyi Soo yang juga pernah membabitkan diri dalam bidang lakonan. Antara filem dan televisyen lakonannya adalah Injustice Stranger, Destiny In Her Hands dan Mr Siao.

Setakat semakan Malaysiakini pada ketika ini, imej topi konvo itu mencecah 1.4 ribu like dan puluhan ucapan tahniah yang memandang tinggi usaha dilakukan Soo.

“Tahniah Dr Soo! Perkara ini benar-benar memberi inspirasi,” tulis seorang pengguna menggunakan akaun @M Nas SO.

Pencapaian Soo itu pula berlaku ketika orang ramai masih memperkatakan kesahihan pencapaian beberapa tokoh umum yang menggunakan gelaran PhD yang diragui kesahihannya seperti penceramah motivasi Azizan Osman.

“Dr Wincci boleh bagi syarahan kepada En Azizan betapa susahnya untuk mendapatkan segulung ijazah kedoktoran,” kata pengguna @Jameel Haroon.

Lihat Komen
ADS