Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Suatu ketika dulu penyanyi Awie pernah mengambil mudah terhadap kewujudan amalan santau, tetapi kini tidak lagi selepas mempelajarinya melalui keadaan pahit.

Malah vokalis kumpulan rock Wings itu sendiri mempercayai dia adalah salah seorang mangsa kepada ilmu sihir.

Menjelaskan kenyataan itu, Awie berkata, dirinya menjadi sasaran mudah kerana pernah bercakap besar.

“Jika orang bercerita mengenai santau saya katakan perkara seperti itu tidak wujud.

“Dulu sukar untuk percaya kerana saya jenis mat rock, tetapi rupa-rupanya tidak apabila terkena barulah tahu langit itu tinggi ke rendah.

“Jangan bongkak kerana kejap saja nak kena kalau kita bersikap begitu,” katanya.

Awie ditemui pada sidang media pengumuman majlis sambutan ulang tahun ke-25 Hard Rock Cafe di Kuala Lumpur hari ini.

Wings bakal menghiburkan para peminat di kelab berkenaan pada 8 November depan bermula jam 10.30 malam. Tiket masuk dijual pada harga RM80.

Di hadapan petugas media, Awie meluahkan dia sebenarnya enggan bercerita lanjut mengenai situasi yang sedang menghimpitnya.

Katanya, keadaan itu menampakkan kekalahan seolah-olah berada di tangannya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, terpaksa merahsiakan tarikh dan lokasi perkahwinan yang ketiga kerana dibelenggu penyakit misteri.

Awie bernikah dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29 di salah sebuah lokasi di Thailand dalam sebuah majlis pernikahan yang dihadiri keluarga dan rakan rapat saja.

Tindakan itu dibuat kerana Awie bimbang ada pihak tertentu akan melakukan sabotaj terhadap majlisnya.

Awie sebelum ini mendedahkan pelbagai kejadian aneh berlaku sebelum dia bercerai dengan isteri kedua Rozana Misbun pada 2014.

Dan perkara itu berlanjutan hingga kini walaupun dia sudah mengahwini Sharifah.

Awie berkata dia kini lebih berwaspada dalam menjalin sebarang hubungan selain mengelak memberi kepercayaan dengan sewenang-wenangnya kepada seseorang.

“Apabila kita berkawan dan letak kepercayaan dengan mudah terhadap seseorang kita akan mudah terkena perkara sebegini.

“Biarlah kita percaya kepada Allah saja selain memerhatikan pergerakan sendiri dengan berhati-hati,” katanya.

Lihat Komen
ADS