Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lelaki pecahkan bintang Trump di Hollywood Walk Of Fame
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 8:16 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Seorang lelaki bertindak memecahkan bintang Donald Trump di laluan pejalan kaki terkenal, Hollywood Walk Of Fame bagi mengumpul dana untuk wanita yang mendakwa pernah diserang secara seksual oleh tokoh kontroversi itu.

Dalam kejadian yang berlaku malam semalam itu, lelaki terbabit dilihat mengetuk lantai hingga pecah menggunakan tukul.

Dia yang memakai jaket keselamatan dilaporkan berhasrat untuk melelong bintang taikun berkenaan sebelum menyumbangkan hasilnya kepada wanita yang didakwa menjadi mangsa Trump.

Trump bagaimanapun sebelum ini dilaporkan menafikan segala tuduhan ke atasnya.

BBC melaporkan calon presiden republik itu menerima bintang Hollywood Walk Of Fame pada 2007.

Namun, ini bukanlah pertama kali monumen awam itu rosak akibat menanggung tindakan pesalah laku.

Sebelum ini nama Trump di laluan itu pernah dikelilingi dinding-dinding kecil sebagai lambang protes terhadap rancangannya untuk membina tembok antara AS dan Mexico.

Terdapat juga beberapa rakaman individu membuang air kecil di atas monumen bekas hos rancangan Apprentice berkenaan selain menconteng grafiti.

Ruang Holywood Walk of Fame diberikan kepada selebriti sebagai tanda pencapaian mereka dalam sesuatu industri.

Walaupun mengalami kerosakan, monumen itu tidak dikeluarkan oleh pihak yang menguruskan - Hollywood Chamber of Commerce - dari tempat asal.

“Apabila bintang ditambah di laluan itu, ia dianggap sebagai sebahagian dari sejarah Hollywood Walk of Fame.

“Atas alasan itu, kami tidak pernah mengeluarkan bintang dari laluan berkenaan,” kata wakil Hollywood Chamber of Commerce.

Syarikat berkenaan menerima ratusan permohonan setiap tahun dari selebriti terkenal yang menginginkan nama mereka menghiasi laluan pejalan kaki di Hollywood itu.

Setiap permohonan adalah termasuk kenyataan daripada calon yang mengesahkan mereka mahukan bintang berkenaan. Sebaik permohonan diterima, calon diminta menghadiri sebuah majlis.

Setiap pemohon juga perlu mendapatkan £19,260 (RM98,679) untuk penajaan.

Sementara itu, polis Los Angeles mengesahkan pihaknya sedang menyiasat perkara berkenaan.

Lihat Komen
ADS