Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Berdepan kemarahan ratusan ribu umat Islam tempatan, pelakon dan model Indonesia Mike Lewis tetap menyokong Gabenor Jakarta Basuki Ttjahaja Purnama atau Ahok.

Mike - penganut Protestan - malah berkata insiden protes besar-besaran di ibu negara Indonesia itu pada 4 November lalu menyedihkannya.

Namun katanya dia percaya ada pihak mendalangi protes berkenaan dan mereka ialah ahli politik tertentu yang memang berseteru Ahok, atau kumpulan yang memang gemar berdemonstrasi.

"Saya menyokong Ahok kerana melalui pentadbirannya, rakyat di Jakarta boleh memperbaiki kehidupan mereka.

“Banyak manfaat serta perubahan dan kesejahteraan yang diberikan olehnya untuk Jakarta,” katanya kepada Malaysiakini.

Mike hadir pada sesi wawancara di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Mike akan muncul sebagai hos program Lifestyle Advocates Indonesia menerusi saluran Life Inspired Astro pada 27 November depan.

Mungkin disalah tafsir

Pada 4 November lalu ribuan umat Islam mengadakan protes besar-besaran di Jakarta selepas sembahyang Jumaat.

Bantahan diketuai kumpulan Front Pembela Islam itu berpunca daripada ucapan Ahok yang didakwa menghina Islam.

Antara lain Ahok didakwa mengucapkan kepada penduduk Pulau Seribu pada hujung September lalu bahawa umat Islam ditipu kerana memilihnya sambil merujuk ayat ke-51 surah al-Maidah.

Ahok adalah gabenor pertama Jakarta berbangsa Cina dan bukan beragama Islam.

Bagaimanapun Ahok kemudian berkata dia tidak berniat menghina Islam atau mana-mana agama.

Beliau kini disiasat pihak berkuasa atas dakwaan menghina agama dan berdepan kemungkinan dipenjara jika dihadapkan ke mahkamah serta didapati bersalah.

Kata Mike, 35, dia yakin Ahok tidak berniat jahat, malah kemungkinan apa yang diucapkannya itu disalah tafsir.

"Keadaan memburuk hingga Ahok bakal disumbat dalam penjara juga menjadi perkara begitu menakutkan," katanya.

Bagi Mike jika Ahok akhirnya benar-benar dipenjara perkara itu secara tidak langsung akan memburukkan imej Indonesia sebagai negara pengamal demokrasi.

“Sepatutnya, Indonesia menjadi duta Islam moden, kerana walau penduduknya berbeza agama saya percaya isi hati mereka masih sama. Malah sebenarnya kita tidak perlu berbunuhan apabila berkongsi planet sama.

“Islam agama indah tetapi jika ada yang mempolitikkan ia untuk buat dunia tidak harmoni. Itu buat saya sedih,” katanya.

Mike adalah anak seorang diplomat dengan ibunya berasal dari Malaysia. 

Kini cuba mencari tapak untuk mengembangkan bakatnya di negara ini Mike adalah bekas suami aktres dan penyanyi Indonesia, Tamara Bleszynski.

Lihat Komen
ADS