Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Burkini Halima 'buka mata' warga AS
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 12:21 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Dengan satu harapan, Halima Aden memilih untuk memperagakan pakaian muslimah ketika menyertai pertandingan Miss Minnesota Amerika Syarikat (AS) adalah memberi kesedaran kepada umum.

Pelajar tahun satu Universiti St. Cloud State itu berjalan di atas pentas sambil memakai burkini - pakaian renang menutup aurat - berwarna biru sambil memadankannya dengan penutup kepala berwarna kuning.

Selama dua hari acara itu berlangsung, Halima mendedahkan aurat pada bahagian wajahnya saja, menjadikan beliau peserta pertama memakai hijab dan burkini dalam pertandingan ratu cantik.

Tindakannya memakai burkini wajar diberi pujian malah keputusan itu bertujuan untuk membuka mata umum.

Menurut Halimah 19, pertandingan itu boleh mengubah persepsi terhadap wanita Muslim yang sering ditindas.

Katanya, dia tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli kerana mengenakan hijab sejak kecil namun ia tidak menghalangnya untuk berasa bangga dengan agama dan budayanya.

“Terdapat begitu ramai wanita Muslim yang berasakan mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan definisi standard kecantikan. Dan saya mahu menjadi insan yang bertanggungjawab beritahu ia OK menjadi lain daripada lain, kelainan juga adalah cantik,” katanya seperti dilapor CNN.

Bagaimanapun, keputusan Halima dibuat ketika situasi sedang tegang di AS.

Muslim di AS sering menjadi mangsa kepada jenayah perkauman dan ketika ini keresahan mereka semakin menjadi-jadi apabila Presiden dilantik rakyat Amerika baru-baru ini Donald Trump berikrar untuk mengharamkan pendatang beragama Islam sebagai agenda kempennya.

Halima berjaya melangkah ke peringkat akhir, bagaimanapun ia terhenti hanya di situ. Walaupun Halima tidak berpeluang dimahkotakan sebagai ratu Minnesota, usahanya menonjolkan kecantikan dan keyakinan menjadikannya hero di mata remaja wanita Muslim yang lain.

“Ramai remaja perempuan berkongsi kisah mereka dibuli kerana memakai hijab dan seolah-olah tidak dapat sesuaikan diri dengan keadaan,” katanya.

Pengkritik pula berpendapat bertanding dalam pertandingan ratu cantik adalah haram di sisi undang-undang Islam.

Kebenaran ibu

Ibu Halima pula pada awal berasa teragak-agak untuk membenarkan anaknya menyertai pertandingan berkenaan kerana bimbang ia boleh menjejaskan akidah.

Bagaimanapun, selepas Halima memberitahu tujuannya idea itu akhirnya perlahan-lahan dapat diterima.

Halima tidak berniat untuk meneruskan perancangan menyertai pertandingan lain buat ketika ini, tetapi dia berazam untuk terus membakar semangat wanita Muslim yang lain.

Dia bercadang untuk menyuntik semangat itu bermula di sekolah lamanya, dengan menggalakkan wanita Muslim bermain sukan dan menyertai kokurikulum.

“Jika ada satu mesej ingin disampaikan adalah saya tidak akan berkompromi untuk menjadi diri sendiri yang asli walaupun ia menyebabkan orang lain berasa tidak selesa,” katanya.

Lihat Komen
ADS