Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nur Fathia bikin kru kapal terbang 'naik angin'
Diterbitkan:  Dec 5, 2016 9:30 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Jika wanita baru bersalin, tempohnya belum habis pantang. Tak cukup 44 hari selebriti Nur Fathia Latiff mengundang marah sekali lagi.

Jika pada hujung Oktober dulu Nur Fathia ditegur kerana dianggap mempersenda pakaian seragam tentera, kali ini pelakon siri Rumi & Jawi itu menyebabkan rasa marah kakitangan kabin syarikat penerbangan.

Puncanya, Nur Fathia didakwa mengaibkan seorang kru pesawat udara selepas kakitangan itu dikatakan enggan mengangkat bagasi pelakon terbabit.

Dalam kenyataan dikeluar Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam) memberitahu mengangkat bagasi bukan tugasan yang mesti dilakukan kru kabin sesebuah syarikat penerbangan.

"Mereka ditugaskan untuk menjaga keselamatan penumpang sambil memberi layanan mesra di dalam pesawat.

"Yang menimbul persepsi dalam isu ini ialah apabila pramugari tersebut tidak membantu beliau mengangkat bagasi beliaunya dan itu mungkin menimbulkan kemarahan pada artist tersebut.

"Tetapi ia bukan tugas seorang anak kapal untuk mengangkat bagasi penumpang. Mereka cuma boleh membantu jika perlu," katanya.

Semalam Nur Fathia dikatakan memuat naik gambar dan kenyataan di media sosial dengan mengadu ada pramugari enggan mengangkat bagasinya dan memberi alasan mengalami sakit belakang.

"Get some rest la tak payah kerja kalau ada back ache. Kudos @masMalaysia," katanya di Twitter.

Turut disertakan bersama catatan itu ialah gambar seorang wanita dipercayai pramugari yang dimaksudkan Nur Fathia.

Segera redakan keadaan

Bagaimanapun semakan Malaysiakini pada malam ini mendapati tweet berkenaan sudah tiada pada paparan akaun Nur Fathia.

Sebaliknya ada dua tweet dimuat naik pada akaun itu dipercayai ada kaitan dengan insiden berkenaan.

"I didnt c.o.m.m.a.n.d her to carry the bag. I was just asking her f.a.v.o.r to assist me to put the bag in the overhead compartment.

"She x have to be rude by raising her voice and making faces. It doesnt matter wherever u sit. Economy or business. Etiquette is etiquette," tulisnya.

Kata Nufam tindakan Nur Fatihah telah menimbulkan kemarahan kru kabin yang menyifatkan dia sebagai kurang sopan.

"Gambar kru tersebut tidak seharusnya diviralkan di media sosial atas sebab ini.

"Kami ingin menasihati supaya beliau memohon maaf atas perbuatan beliau dan turunkan gambar dan kenyataan beliau dari laman sosial secepat mungkin bagi meredakan keadaan ini," kata Nufam.

 

 

 

Berikut adalah kenyataan penuh Nufam:

Nufam menyifatkan kenyataan seorang artis tempatan Nur Fathia Latiff terhadap seorang kru kabin memalukan kaum artis dalam industri negara.

Isu ini dilihat sebagai satu lagi pihak yang mendahagakan publisiti murahan dengan mencecerkan seorang pramugari MAS dengan memuatkan gambar beliau didalam laman Twitter beliau.

Ia mengambarkan betapa kerdilnya perbuatan beliau yang ingin menimbulkan kontrovesi di kalangan orang ramai. Ini tidak sepatutnya berlaku sebab setiap penumpang mempunyai ruang untuk membuat aduan jika perkhidmatan dalam penerbangan tidak memuaskan.

Kenapa tidak hantar e-mel atau mengadu melalui perkhidmatan pelangan?

Kenapa pula kena hantar gambar kru dan mengaibkan kru kabin tersebut?

Kesatuan berasakan ini satu tindakan yang sungguh tidak bijak atas prinsip berhemah sebagai pelangan. Apa rasa kalau pihak kru pula menghantar gambar beliau dan mengkritik beliau di laman sosial?

Bukankah ia akan menimbulkan konflik antara kedua pihak akhirnya?

Sebagai penumpang, beliau harus sensitif dengan tugas pramugara dan pramugari di dalam kapal.

Kru ini kerap disindir dan juga dikutuk oleh penumpang tetapi penumpang mungkin lupa betapa pentingnya tugas seseorang kru di dalam pesawat.

Mereka ditugaskan untuk menjaga keselamatan penumpang sambil memberi layanan mesra di dalam pesawat. Yang menimbul persepsi dalam isu ini ialah apabila pramugari tersebut tidak membantu beliau mengangkat bagasi beliau.

Mungkin itu yang menimbulkan kemarahan artis tersebut. Tetapi ia bukan tugas seorang anak kapal untuk mengangkat bag penumpang. Mereka cuma boleh membantu jika ada keperluan.

Dalam majalah pesawat telah disebut dengan jelas bahawa kru kabin hanya boleh membantu penumpang tetapi ia bukan polisi untuk mereka mengangkatkan bagasi di dalam pesawat.

Kru kabin ini mungkin mengalami sakit belakang dan dia boleh memaklumkannya kepada penumpang.

Di sini kami lihat banyak kontrovesi boleh timbul apabila penumpang tidak tahu tugas sebenar kru kabin dalam pesawat. Tugas penting mereka adala untuk menjaga keselamatan dan keselesaan para penumpang.

Mereka tidak digalakan mengangkat beg berat kerana banyak bagasi penumpang memang berat dan tidak sesuai untuk seorang pramugari mengangkatnya.

Nufam pernah membangkitkan isu ini sebab ramai pekerja mengalami slip disc atau masalah tulang belakang. Apabila berlaku slip disc, kru ini terpaksa dirawat sehingga berbulan-bulan lamanya.

Slip disc ini bukan fenomena yang baru dialami kru kabin malah pekerja bagasi dan juruterbang pun mengalami masalah tersebut.

Kami berharap sangat penumpang memahami keadaan ini dan hakikatnya, pramugari ini tidak digalakan mengangkat beg berat di dalam pesawat.

Tindakan Nur Fathia menimbulkan kemarahan kru kabin yang menyifatkan beliau sebagai kurang sopan. Gambar kru tersebut tidak seharusnya diviralkan di media sosial atas sebab ini.

Kami ingin menasihati supaya beliau memohon maaf atas perbuatan beliau dan turunkan gambar dan kenyataan beliau dari laman sosial secepat mungkin bagi meredakan keadaan ini. Sekian.

Lihat Komen
ADS