Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Menjadi artis biasanya memang memukau pandangan orang, namun di sebalik dunia penuh glamor itu tidak ramai yang tahu 'penderitaan' ditanggung mereka.

Antara kesukaran dihadapi dari semasa ke semasa ialah mencari penaja untuk membiayai sesuatu program, termasuk konsert.

Untuk membuat pinjaman dari bank, ia tidak semudah disangka kerana institusi itu perlu diyakinkan terlebih dulu.

Bagi Anuar Zain yang terkenal dengan lagu Sedetik Lebih, kekangan itu bukan yang baru.

"Masalah itu saya alami sejak penghujung 1990-an lagi dan ia semakin buruk dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya.

Ketika itu katanya pihak yang mahu menaja semakin berkurangan, ditambah pula dengan peraturan kerajaan yang melarang syarikat rokok atau minuman keras terbabit dalam penganjuran sesuatu konsert.

“Tak ada orang nak menaja industri muzik. Kasihan orang macam saya susah untuk buat konsert atau hasilkan album.

“Apabila pergi bank untuk mendapatkan bantuan waktu itu, tak lulus walaupun sudah tunjuk akaun, kerana bagi mereka golongan artis tidak mempunyai pendapatan kukuh,” katanya.

Anuar ditemui pada sidang media mengumumkan konsert Yonder Music Live Series by the Lake: Anuar Zain & You di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengenang nasib yang pernah menimpanya itu, Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain, 46, kini bersyukur dengan kerjasama terjalin dengan Yonder Music untuk konsert pada 21 Januari 2017 nanti.

Konsert selama 90 minit itu akan diadakan di Panggung Anniversari Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga antara RM388 hingga RM888.

Mengulas mengenai harga tiket, penyanyi Andainya Takdir itu yakin jualan dan promosi tidak akan terjejas walau keadaan ekonom tidak begitu menggalakkan kini.

Kata adik kepada penyanyi Ziana Zain itu, penganjur memberi jaminan kepada peminat, kualiti persembahan pada hari berkenaan akan dipastikan pada tahap terbaik.

Konsert itu nanti akan dipimpin Sze Wan sebagai pengarah muzik, manakala Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah persembahan.

“Saya meletak sepenuh kepercayaan kepada Yonder Music. Walau harga tiket mahal persembahan yang akan dibuat nanti pasti berbaloi untuk peminat setia Anuar Zain.

“Niat mengadakan konsert bukanlah hanya berpaksikan kepada keuntungan semata-mata tetapi sebagai cara mendekatkan diri dengan peminat yang selama ini menjadi penyokong saya tanpa jemu.

“Malah saya percaya, lagu lagu didendangkan boleh menjadi pengubat jiwa dan emosi pendengar," katanya.

Lihat Komen
ADS