Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana 'gatal punggung' Jennifer Lawrence dikecam
Diterbitkan:  Dec 10, 2016 4:08 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Tanpa disengajakan, pelakon Jennifer Lawrence menggesel punggungnya di batu akibat kegatalan namun perbuatan itu mengundang kemarahan penduduk Hawaii.

Menurutnya, situasi itu berlaku ketika penggambaran Hunger Games sedang dijalankan di Amerika Syarikat.

Jennifer tidak mengetahui batu yang digelar Pohaku itu sebenarnya dianggap suci oleh penduduk Hawaii.

"Anda tak sepatutnya duduk di atas batu berkenaan sebab anda tak sepatutnya mendedahkan aurat di situ.

“Saya bagaimanapun, memakai pakaian renang untuk penggambaran dan saya rasa bagus untuk menggarukan punggung di batu itu. Salah satu batu yang saya gesel akhirnya bergoyang.

"Ada sebuah batu besar dan ia bergolek serta hampir membunuh jurubunyi kami," katanya.

Menurut Jennifer,  penduduk Hawaii kemudian percaya insiden itu adalah disebabkan sumpahan.

Pohaku dianggap suci atas beberapa sebab, antaranya merupakan manifestasi kepada dewa dan nenek moyang, selain mempunyai kaitan dengan kuasa rohani.

Jennifer diwawancara oleh BBC dan ceritanya itu disiarkan dalam sebuah video klip yang kemudian dimuat naik menerusi media sosial.

Melalui semakan Malaysiakini hingga petang ini video berkenaan ditonton sehingga 2.4 juta orang.

Dalam temubual diadakan, Jennifer begitu teruja menceritakan pengalamannya, malah penerima Oscar 2012 menerusi Silver Linings Playbook itu sempat bergurau mengenai “sumpahan batu” yang menimpa dirinya kepada hos rancangan berkenaan.

Namun gurauan Jennifer akhirnya menimbulkan reaksi kurang menyenangkan malah aktres itu digesa memohon maaf atas perbuatannya yang dianggap tidak menghormati budaya kaum lain.

Jennifer akhirnya tampil memohon maaf menerusi media sosial dengan menyatakan perbuatannya tidak bertujuan untuk menghina mana mana kepercayaan mahupun tradisi kaum lain.

“Bukan saya tidak mempunyai perasaan hormat terhadap penduduk Hawaii.

"Saya fikir bahawa saya sedang merendahkan diri sendiri mengenai fakta terkena ‘sumpahan’, tetapi saya faham cara itu telah dianggap tidak lucu dan saya meminta maaf jika menyinggung sesiapa sahaja," katanya.

Lihat Komen
ADS