Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Walaupun meletakkan namanya di muzik arus perdana, Khai Bahar mengakui pencapaian itu belum memadai, malah ada kelemahan yang perlu digilap sebaik mungkin.

Menyedari kekurangan itu, kata Khai, bagi memastikan namanya sentiasa gah di hati penggemar muzik, dia perlu berusaha memantapkan teknik nyanyiannya.

Untuk meningkatkan kualiti vokalnya, penyanyi Bayang itu sering mengambil inisiatif yang dirasakan perlu untuk memperbaiki diri.

“Saya bukan penyanyi sempurna walaupun bakat itu ada. Apa yang pasti, memang banyak perkara perlu diperbaiki.

“Apabila menyanyi saya akan merakam suara sendiri untuk didengar semula. Dari situ baru saya tahu apa kelemahan untuk diperbaiki,” katanya.

Khai atau nama sebenarnya Mohd Khairul Baharuddin, 23, ditemui pada majlis perasmian produk kecantikan dan kosmetik Meriel di Kuala Lumpur semalam.

Kemunculan Khai dalam dunia seni suara bermula selepas dia sering memuat naik video dirakam "secara suka-suka" di media sosial.

Gaya suaranya mencetus fenomena melalui lagu Memori Berkasih yang dinyanyikan bersama Siti Nordiana menggunakan aplikasi Smule.

Pun begitu, nama Khai sebagai penyanyi seakan ada pasang surutnya. Anak jati Perlis itu dikatakan gagal menyaingi nama artis lain yang membuat kemunculan terkemudian, seperti Aiman Tino dan Sufian Suhaimi.

Ada impian belum tercapai

Namun, bagi Khai, saingan daripada mereka tidak dianggap sebagai gugatan, sebaliknya yakin dengan kemampuan sendiri.

Katanya, setiap penyanyi ada cara yang berbeza-beza.

“Kalau pendengar hendak membandingkan, terpulanglah, tetapi saya percaya kami memiliki gaya tersendiri dan pendengar boleh menilai mana yang lebih baik," katanya.

Menurut Khai, dia menerima persaingan secara positif kerana ia bersifat sihat.

Anak keempat daripada enam beradik itu juga percaya rezeki ada di mana-mana dan tidak perlu berdengki sesama sendiri.

Memetik sambutan peminat kepada single pertamanya iaitu Bayang, Khai berkata, ia kekal di kedudukan pertama carta Muzik Muzik selama dua minggu berturut-turut.

Namun, dia mengakui ia bukanlah kejayaan mutlak untuknya.

Selagi dia tidak dapat bersaing dengan nama-nama besar di pentas utama - Anugerah Juara Lagu, misalnya - Khai belum berpuas hati.

“Saya mengimpikan untuk berada di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu kalau ada rezeki nanti.

“Tapi apa boleh buat, belum ada rezeki, dan insya-Allah saya benar-benar mengharapkan hal itu boleh menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.

Lihat Komen
ADS