Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
'Pertunjukan Terhebat Dunia' terkubur selepas 146 tahun
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 8:39 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Jumlah peminatnya semakin mengecil, kos penyelenggaraan meningkat dan lebih penting - cita rasa masyarakat bukan lagi ke arah itu.

Maka persembahan sarkas yang digelar "Pertunjukan Terhebat Di Dunia" itu melabuhkan tirainya 146 tahun selepas ia bermula.

Bercakap kepada AP, penerbit sarkas itu, Ringling Bros dan Barnum & Bailey Circus berkata persembahan berkenaan akan ditamatkan selama-lamanya Mei ini.

Pengerusi Feld Entertainment - syarikat memiliki Ringling Bros - Kenneth Feld berkata keputusan itu amat sukar dibuat oleh semua pihak namun terpaksa diambil juga.

Berita penutupan itu disampaikan kepada kakitangan sarkas berkenaan hujung minggu lalu.

Selain penurunan penonton, minat berkurangan dan faktor kewangan, keputusan menutup Pertunjukan Terhebat Di Dunia berkenaan juga dipengarui oleh kempen aktivis hak asasi haiwan yang membantah penggunaan binatang dalam persembahan sarkas.

Ringling Bros dijadual membuat kira-kira 30 persembahan sehingga Mei ini di beberapa lokasi di AS, termasuk Atlanta, Boston, Brooklyn dan Washington.

Persembahan terakhir mereka ialah di Nassau County Coliseum di Uniondale, New York pada 21 Mei.

Sarkas itu mula mewarnai dunia hiburan di AS sejak pertengahan 1800 dan dikenali dengan pelbagai persembahan haiwai eksotik, pakaian menarik serta aksi-aksi amat mendebarkan.

Ringling Bros dan Barnum & Bailey Circus asalnya dua syarikat berbeza yang menceburi bidang sama.

Adik beradik Ringling menawan hati orang ramai dengan aksi jugel dan aksi komedi di Wisconsin, manakala Phineas Taylor Barnum membawa persembahan gabungan manusia dan haiwan.

Semua tidak memihak

Penggabungan Ringling Bros dan Barnum & Bailey Circus kemudian melahirkan sarkas moden. Seterusnya mereka menghiburkan jutaan orang di seluruh AS.

Pada pertengahan abad ke-19, persembahan sarkas boleh dianggap satu daripada hiburan utama masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.

Kemunculan pelbagai teknologi baru pada abad ke-20 mula mengubah kedudukan sarkas. Dengan adanya radio, televisyen - dan kemudian internet - semakin meminggirkan mereka.

Kata Feld, antara kekangan utama mereka untuk bersaing ialah faktor masa. Misalnya sistem pengangkutan bagi memindahkan semua peralatan dan ahli sarkas dari satu tempat ke tempat lain yang kini menggunakan kereta api.

Kenyataan itu sebenarnya mengingatkan kita mengenai nasib media cetak yang ketika ini semakin tersisih daripada arus perdana.

"Kami tak dapat lihat ia boleh berkesan pada dunia hari ini dan amat sukar mengekalkan harga tiket mengikut kemampuan orang ramai.

"Anda boleh lihat semuanya tidak memihak kepada kami," katanya.

Feld dan keluarganya membeli Ringling Bros pada 1967. Pada waktu itu sesuatu persembahan berlangsung sehingga tiga jam, berbanding sekarang yang dibuat maksimum 2 jam 7 minit.

Segmen paling lama ialah aksi harimau yang memakan masa 12 minit. Namun ia bukan mudah.

"Cuba anda buat seorang budak berusia tiga atau empat tahun duduk diam selama 12 minit," kata Feld.

Faktor penggunaan haiwan dalam pertunjukan juga menjadi duri dalam daging bagi syarikat berkenaan.

Pada Mei 2016, syarikat Feld terpaksa mengetepikan gajah daripada persembahan dan menghantar haiwan berkenaan ke pusat pemuliharaan di Florida.

Puncanya, mereka - selepas menjalani perang berpanjangan selama 14 tahun di mahkamah - mengambil jalan tengah dalam kes yang dibicarakan.

Masalahnya, sejak sekian lama haiwan berkenaan menjadi simbol utama persembahan sarkas itu sejak Barnum membawa seekor gajah Asia - dinamakan sebagai Jumbo - ke AS pada 1882.

Pandangan orang ramai terhadap layanan kepada haiwan sarkas juga berubah. Pihak berkuasa di Los Angeles mengharamkan penggunaan cangkuk besi oleh jurulatih gajah.

Larangan sama juga dikuatkuasakan di Oakland, California.

Ketika jumlah kehadiran terus menurun pada 10 tahun terakhir, ketiadaan gajah dalam persembahan membuat keadaan bertambah parah.

Anehnya, ketika masyarakat berpendapat mereka tidak mahu gajah dipersembahkan dalam pertunjukan sarkas, mereka juga tidak hadir apabila haiwan itu ditiadakan.

Dengan berakhirnya persembahan itu, kira-kira 500 pekerja sarkas akan ditempatkan di syarikat lain Feld Entertainment yang lebih menguntungkan.

Antaranya Monster Jam, Disney on Ice dan Marvel Live.

Lihat Komen
ADS