Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Menjadi mangsa penggodam memang memeritkan, lebih-lebih lagi apabila akaun tersebut dijadikan tebusan untuk mendapatkan keuntungan.

Jika suatu ketika dulu wang tebusan hanya diperoleh melalui rampasan atau penculikan, pada era ini akaun media sosial pula menjadi mangsa.

Golongan artis antara orang yang menjadi sasaran penggodam media sosial.

Mangsa terbaru ialah pelakon Nadiyah Shahab. Mengakui dia benar-benar sakit di hati, dia dipaksa membayar sejumlah wang untuk mendapatkan dan mengawal kembali akses kepada Instagramnya.

Kata Nadiyah, penggodam dari negara luar itu meminta bayaran wang berjumlah Rp2 juta (RM660) yang mesti disalurkan melalui kemudana atas talian.

“Saya sungguh tertekan apabila diminta memindahkan wang kepada akaun wanita tempatan yang dinamakan sebagai Nafisah Aminan," katanya.

Namun seolah-olah paksaan itu belum cukup menyakitkan hati, Nadiyah juga terpaksa mengajar penggodam terbabit menggunakan kemudahan bayaran atas talian berkenaan.

Puncanya, penggodam itu sendiri tidak tahu cara sebenar mengurus pindahan wang menggunakan kemudahan berkenaan.

“Sudahlah menjadi mangsa, saya pula yang terpaksa mengajar dia cara untuk dapatkan duit saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

 

 

Nadiyah atau nama penuhnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 25, berkata penganiayaan di media sosial itu berpunca daripada sindiket yang berpangkalan di Indonesia.

Kejadian terbabit bermula sejak tiga hari lalu apabila dia menerima notis dari Gmail menyatakan terdapat aktiviti dicurigai berpusat dari Jawa Tengah.

Walaupun sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menukar kata laluan beberapa kali, malang bagi pelakon kelahiran Singapura itu apabila Instagram miliknya tetap 'ditakluk' penggodam.

Moga jadi teladan

Malah kata anak sulung daripada dua beradik itu, laporan juga sudah dibuat kepada pihak pengurusan Gmail dan Instagram namun cara itu tidak membuahkan hasil.

“Untuk berhubung dengan penggodam, saya menggunakan akaun seorang rakan. Menerusi mesej langsung kami kemudian berbincang mengenai proses pemindahan wang.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir kaedah lebih sesuai daripada membayar saja wang kerana penggodam mengugut untuk menjual akaun berkenaan kepada seorang pembeli.

“Ketika sedang berurusan dengan individu berkenaan, dia memadam gambar saya satu persatu hingga jumlah dianggarkan mencecah 15 imej,” katanya.

Sebagai pendatang baru dalam industri, Instagram dilihat sebagai satu keperluan yang amat penting buat Nadiyah untuk mencari pendapatan.

Meskipun pengikut di laman akaun sosial pelakon Encik Suami Mat Salleh Celup itu belum mencecah jutaan orang ia tetap berharga buat Nadiyah.

Selain berlakon drama dia juga pernah menjadi model dan pengacara program terbitan Astro, Lost At SEA.

Sebelum ini beberapa selerbiti pernah menjadi mangsa penggodam. Antaranya, pelawak Jihan Muse dan Nabil, pelakon Izreen Asminda, Emma Maembong dan penyanyi Adira Suhaimi.

Dengan nada kesal, Nadiyah memberitahu, dia mendedahkan kisahnya itu supaya dijadikan teladan kepada orang lain.

Katanya, ia boleh dielakkan jika langkah berjaga-jaga diambil.

“Sepatutnya saya lebih awal membuat laporan polis.

“Dan untuk wanita yang bersekongkol dengan sindiket terbabit, sepatutnya anda menyokong dan memberi semangat kepada satu sama lain, bukannya melemahkan kaum sejenis.

“Tetapi tak mengapa, saya harap penggodam boleh menerima ketenangan jiwa selain mencari jalan lain bagi mendapatkan rezeki halal,” katanya.

 

 

Thank youuuuu @sabfar0 @sabfaro for my lovely2 gemstone ring!! I wear it everywhere 😘💛

A photo posted by @nadiyah.shahab on

 

Lihat Komen
ADS