Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peminat maut gara-gara Shah Rukh Khan
Diterbitkan:  Jan 24, 2017 5:11 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Seorang maut manakala seorang lagi dilaporkan cedera parah ketika peminat berasak-asak untuk menemui artis pujaan mereka, Shah Rukh Khan di sebuah stesen kereta api di India, semalam.

Kehadiran Shah Rukh, 51, di stesen itu dengan menaiki August Kranti Express adalah sebagai langkah mempromosi filem terbarunya, Raees.

Bintang Bollywood itu tidak melangkah keluar daripada keretapi dinaiki sebaliknya hanya melambai tangan sambil menggunakan pembesar suara untuk menyakinkan orang ramai menyaksikan filem berkenaan.

Bagaimanapun, peminat aktor itu dilaporkan telah berada dan mengerumuni platform kereta api berkenaan beberapa jam lebih awal sebelum ia dijadualkan tiba.

Ia menyebabkan ratusan peminat berpusu-pusu untuk menemui pelakon pujaan mereka itu sehingga beberapa individu mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

Individu yang terkorban dikenali sebagai Farid Khan Sherani, seorang tokoh politik yang pernah bertanding dalam pilihan raya tempatan pada 2005.

Sebelum kejadian, Farid yang berusia lewat 40 an hadir di stesen itu dengan ditemani isteri dan anaknya.

Farid yang dikejarkan ke hospital di Vadodara bagaimanapun disahkan mati akibat serangan jantung sebaik tiba di sana.

Manakala dua anggota polis berpangkat konstabel turut dilaporkan pengsan semasa tragedi itu berlaku, namun keadaan mereka kini dilaporkan stabil.

Sementara itu, Shah Rukh turut meluahkan perasaan simpatinya di atas kejadian menimpa Farid.

“Nasib malang menimpa lelaki itu dalam kejadian yang meragut nyawanya. Saya mendoakan kesejahteraan dia dan keluarganya. Pasukan kami berada di situ, insiden itu sungguh tragik,” katanya sebaik tiba di Delhi.

Menurut Shah Rukh, beberapa anggota pasukannya menghadiri majlis pengebumian Farid bagi memberi penghormatan terakhir kepada lelaki itu.

Lihat Komen
ADS