Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem animasi Iran lawan propaganda AS
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 6:11 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Sebuah filem animasi menggambarkan konflik antara Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) akan menjengah pawagam Iran tidak lama lagi.

Battle of Persian Gulf II bakal menghiburkan peminat walaupun situasi tegang antara Iran dan AS semakin meningkat sejak Presiden Donald Trump mengukuhkan pendirian anti-Iran.

Pengarah Farhad Azima berkata, penayangan filem berkenaan - mengambil tempoh empat tahun untuk disiapkan dan jalan ceritanya hampir menyamai dasar presiden AS yang gemar mengapi-apikan peperangan.

“Saya harap filem itu dapat mengetengahkan mesej kepada Trump bagaimana tentera Amerika akan menanggung malu akibat kekalahan jika mereka menyerang Iran,” katanya seperti dilapor Reuters.

Papar babak serangan AS

Pada babak pembukaan, animasi yang berdurasi 88 minit itu memaparkan tentera AS menyerang reaktor nuklear Iran manakala Tentera Laut AS melancarkan serangan ke atas lokasi strategik di negara itu.

IRGC, cawangan ketenteraan paling berkuasa Iran membalas dengan hujan peluru berpandu balistik ke atas kapal perang milik AS.

“Mereka semua karam dan filem berakhir selepas kapal Amerika bertukar menjadi seolah-olah akuarium untuk ikan di dasar laut,” kata Farhad.

Hubungan AS dan Iran tidak pernah mempunyai rekod baik dan situasi dijangka lebih memburuk apabila Donald Trump mengambil alih tugas bekas presiden Barack Obama.

Dasar Trump

Trump pernah menyuarakan pendiriannya tidak akan menjadi “sebaik” presiden terdahulu dalam hubungan terhadap Iran, selain memberi amaran pilihan ketenteraan tidak berpihak kepada Tehran.

Trump sebenarnya meragui perjanjian nuklear kuasa antara Barat dengan Iran.

Dan sebagai tindak balas terhadap ujian peluru berpandu bulan lalu, beliau mengenakan hukuman baru ke atas beberapa individu dan entiti dari Iran yang kebanyakannya mempunyai kaitan dengan IRGC.

Watak utama komander Iran dalam filem berkenaan pada awalnya digambarkan sebagai Qassem Soleimani iaitu Komander IRGC yang menyelia operasi ketenteraan di Syria dan Iraq untuk menentang militan Islam.

Menurut Farhad, cubaan untuk mendapatkan maklum balas daripada Qassem berhubung imejnya dalam filem itu bagaimanapun berdepan kegagalan.

Namun, pegawai kanan yang rapat dengan Qassem meminta pengarah berkenaan untuk mengekalkan karakter dan cuma mengubah nama lelaki itu semasa suntingan terakhir.

“Hollywood mencipta banyak filem menentang Iran. Terdapat juga banyak permainan komputer yang memaparkan tentera AS mengalahkan negara kami. Justeru, kami menghasilkan filem ini sebagai jawapan kepada propaganda berkenaan,” kata pengarah berusia 35 tahun itu.

'Bukan kerana wang'

Bagaimanapun, tidak seperti kemudahan peralatan di Hollywood, Farhad berkata, Studio Animasi Fatima Zahra terdiri daripada kalangan pasukan dengan bajet yang kecil.

Katanya, mereka langsung tidak menerima sebarang imbuhan daripada kerajaan dan tidak pula mempunyai kaitan dengan IRGC.

“Juru animasi kami tidak bekerja semata-mata kerana duit tetapi kepercayaan dan kasih sayang terhadap negara. Terima kasih Tuhan, kerana ramai yang terkejut kami berjaya menyiapkan produksi berkualiti walaupun keadaan tidak mengizinkan,” katanya.

Menurutnya, tayangan akan dimulakan selepas filem berkenaan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Filem itu mendapat reaksi positif di media sosial selain dikongsi ribuan kali.

Farhad juga percaya ramai remaja Iran yang menunjukkan minat untuk menonton filem berkenaan kerana mereka ingin seseorang yang mampu menunjukkan kehebatan negara mereka.

 

Lihat Komen
ADS