Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau dikutuk, buku Fattah Amin jadi 'best seller'
Diterbitkan:  Feb 21, 2017 2:41 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Meskipun menerima kutukan, buku 99 Kata-kata #QalifModen yang dihasilkan pelakon Fattah Amin mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Menurut Fattah, pengedar Buku MPH Book Store turut memohon tempahan kedua sejak ia dilancarkan Februari lalu, selain pembelian secara dalam talian naik mendadak.

"Untuk cetakan pertama pihak penerbit mengeluarkan 5,000 salinan dan Alhamdulillah setakat ini jualan sangat memberangsangkan walaupun ia dikritik hebat.

"Malah pihak MPH Book Store juga membuat tempahan baru buku itu kerana mendapat permintaan tinggi selain ia diletakkan di carta 'best seller'," katanya kepada mStar Online.

Minggu lalu nama Fattah menjadi panas apabila netizen mengecam kandungan buku pertamanya itu selain mempersoalkan kredibiliti dia sebagai penulis buku.

Salah satu petikan buku tersebut yang berbunyi: "Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC nak bawak kereta aku sendiri dan parking Valet. Ternyata kini telah termakbul hahh.... kelakar kan" telah dipersendakan sehingga menjadi tular di laman sosial.

Selain MPH Book Store, 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin boleh dibeli di kafe milik Fattah iaitu Stalkerscafe selain tempahan secara dalam talian menerusi www.ideakreatif.com.

Dalam pada itu, Fattah berkata, dia sentiasa berfikiran positif terhadap kritikan yang dilemparkan terhadapnya berhubung penghasilan buku itu.

"Pada saya... dalam perniagaan biasalah pasti akan ada yang tidak suka dengan produk dihasilkan dan sebaliknya.

"Alhamdulillah jumlah yang memberi maklum balas positif lebih banyak daripada yang mengkritik saya," ujarnya.

Mengulas kekeliruan berhubung harga sebenar buku itu, Fattah berkata ia dijual pada harga RM50 senaskhah sekiranya dibeli di kedai dan bagi pembelian secara dalam talian berharga RM58 termasuk harga pos.

Bagaimanapun, untuk pembeli di Sabah dan Sarawak pula buku itu dijual pada harga RM53 jika dibeli di kedai manakala secara pos berharga RM65.

"Selain mendapat buku, turut disertakan ialah cakera padat single saya iaitu Wanita Terakhir dalam dua versi iaitu original dan akustik," katanya.

Lihat Komen
ADS