Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suaram: Sabitan bersalah terhadap Lena tidak adil
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 9:40 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kesal dengan sabitan bersalah terhadap aktivis Lena Hendry kerana tayangan dokumentari berkenaan perang saudara di Sri Lanka.

Pengarah eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata keputusan itu menunjukkan kepincangan dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.

"Ketiadaan bukti mencukupi yang membawa kepada pembebasan awal beliau menunjukkan terdapat kekurangan bukti di pihak pendakwaan dalam pertuduhan mereka," katanya.

Menurut Sevan, sabitan bersalah kemudiannya menunjukkan sistem keadilan yang cacat di Malaysia.

"Menghukum pihak pembelaan berdasarkan ketidakupayaan mereka membuktikan keraguan munasabah adalah satu pelanggaran terang-terangan terhadap hak kepada perbicaraan adil dan sabitannya menandakan satu lagi ketidakadilan oleh sistem keadilan jenayah Malaysia.

"Percubaan untuk menghukum seseorang kerana sebuah dokuementari patut dikeji di semua peringkat," katanya.

Semalam, Lena didapati bersalah oleh mahkamah majistret kerana tayangan dokumentari No Fire Zone tanpa kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia.

Mahkamah menetapkan 22 Mac untuk menjatuhkan hukuman.

Lena boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 di bawah seksyen 6 (1)(b) Akta Lembaga Penapisan Malaysia 2002.

Perbicaraan bermula pada 2015 dan mahkamah majistret pada 10 Mac lalu membebaskan Lena atas pertuduhan tersebut.

Sabitan semalam berikutan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya.

Lihat Komen
ADS