Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mahershala Ali lakar sejarah di Oscar
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 12:44 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Pelakon Moonlight, Mahershala Ali, melakar sejarah apabila menjadi pelakon Islam pertama berjaya merangkul Anugerah Academy di majlis berlangsung di California hari ini.

Melalui filem arahan Barry Jenkins itu, Mahershala membawa watak Juan dan diiktiraf sebagai pelakon pembantu lelaki terbaik Oscar ke-89.

Bulan lalu, sewaktu menerima Anugerah Screen Actors Guild untuk gelaran kategori sama, Mahershala berucap dengan penuh yakin mengenai kepercayaannya terhadap Islam.

“Nenek saya sentiasa mengingatkan untuk bersiap-sedia (sambil membutangkan bajunya).

“Saya mahu berterima kasih kepada guru dan profesor. Satu perkara mereka sering ingatkan adalah….ini bukan hanya mengenai saya tetapi karakter yang dibawakan.

“Fungsi saya adalah untuk menyampaikan cerita dan watak berkenaan dan saya berasa amat bertuah kerana diberi peluang ini. Ia mengenai Juan, Paula dan kru dan pengalaman begitu hebat,” katanya.

Ini adalah satu pencapaian yang amat ketara buat pelakon seperti Mahershala kerana selain berkulit hitam, dia juga beragama Islam.

Kemenangan Mahershala, 43, berlaku ketika Rumah Putih melaksanakan pelbagai dasar bersifat diskriminasi ke atas warga luar serta Islam.

Kemenangan ini juga menandakan satu penanda aras baru dalam anugerah itu kerana ia mengangkat Mahershala sebagai pelakon kulit hitam kelima yang memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki untuk Oscar.

Moonlight diadaptasi daripada pementasan In Moonlight Black Boys Look Blue dilhamkan oleh Tarell Alvin McCraney.

Selain bertindak sebagai pengarah, Jenkins juga menulis skrip filem itu bersama McCraney.

Filem itu turut dibarisi Trevante Rhodes, Andre Holland, Janelle Monae, Ashton Sanders dan Naomie Harris.

Penggambaran Moonlight dirakam di Miami, Florida pada 20015 dan filem itu pernah ditayangkan di Festival Filem Telluride pada 2 September 2016.

Naskhah itu mencatat jumlah kutipan mencecah AS$23 juta (RM102 juta) di seluruh dunia.

Pada Anugerah Golden Globe ke-74, filem berkenaan memenangi Anugerah Filem Terbaik - Drama dan dicalonkan untuk lima kategori lain.

Untuk Oscar, Moonlight mendapat lapan pencalonan termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik.

Lihat Komen
ADS