Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Moonlight buat semua orang betul-betul terkejut
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Ketika semuanya kelihatan lancar dan gemilang, acara kemuncak Anugerah Academy yang berlangsung pagi ini (waktu Malaysia) tiba-tiba kecoh.

Dan insiden itu juga mengaibkan.

Slot mengumumkan anugerah bagi filem terbaik Oscar ke-89 itu mencetuskan kekeliruan apabila tokoh yang dipilih membuat pengumuman tersebut, Warren Beatty, tersilap membaca kad yang diberikan kepadanya.

Bekas suami Madonna itu mengumumkan filem La La Land sebagai pemenang walaupun judul yang tertulis pada kad berkenaan ialah Moonlight.

Menjelaskan keadaan, Beatty berkata, dia tersilap kerana melihat nama Emma Stone (gambar) yang sebelum itu diumum mengungguli kategori pelakon wanita terbaik melalui filem muzikal La La Land.

“Saya bukan cuba untuk menjadi seorang yang lucu,” katanya selepas pemenang yang sebenar diumumkan.

Laporan lain pula menyatakan Beatty mengumumkan La La Land kerana diberikan kad yang salah.

"Saya membuka sampul kad dan tertulis: Emma Stone, La La Land. Jadi saya umumkan begitu, bukannya saya mahu melawak," katanya.

Keadaan itu berlaku ketika sebahagian daripada pelakon La La Land sudah berada di pentas dan meraikan 'kemenangan' filem berkenaan.

Kisah beremosi

Penerbit La La Land kemudian membetulkan kesilapan itu dan berkata: “Sebenarnya Moonlight adalah pemenang… ini bukan lawak.”

Pengacara Oscar kali ini, Jimmy Kimmel, turut melawak dengan menyalahkan insiden itu ke atas Steve Harvey kerana penyampai itu melakukan kesilapan apabila mengumumkan pemenang Miss Universe dua tahun lalu.

Selepas insiden berkenaan, penonton kemudian berdiri dan bersorak sambil menepuk tangan kepada Moonlight.

Pengarah dan penulis skrip Moonlight, Barry Jenkins, naik ke pentas bersama barisan pelakon untuk menerima piala kemenangan mereka.

Walaupun diumum sebagai pemenang, Jenkis tidak lupa untuk memberi penghargaan kepada La La Land.

“Saya harus berkata ia adalah benar dan bukan tipu. Saya sudah menimba pengalaman begitu lama dengan mereka.

“Saya menggemari La La Land. Terima kasih Academi kerana anugerah ini membuatkan saya berasa rendah diri untuk berada di atas pentas.

“Pernah ada satu ketika saya berasakan filem ini adalah sesuatu yang mustahil kerana ia tidak akan membuahkan hasil,” katanya.

“Amat jelas, saya tak pernah termimpi untuk memenangi anugerah ini," katanya.

Moonlight adalah sebuah kisah yang bermain emosi mengenai seorang lelaki bergelut untuk mencari jati diri.

Dalam perjalanan untuk mencari kebenaran itu, lelaki berkenaan menempuh pelbagai pengalaman termasuk keasyikan, kesukaran, keindahan dalam bercinta dan pada masa sama berhadapan dengan masalah seksualiti.

Filem itu turut memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui Mahershala Ali.

 

 

Lihat Komen
ADS