Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
La La Land menang banyak, penganjur aib besar
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 4:20 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Tirai Anugerah Academy ke-89 berlabuh dengan filem La La Land meraih anugerah terbanyak kali ini, iaitu enam daripada 14 pencalonan.

Anugerah itu ialah pengarah terbaik yang dimenangi Damien Chazelle, aktres terbaik (Emma Stone), sinematografi terbaik, lagu terbaik, lagu asal terbaik dan reka bentuk pengeluaran terbaik.

Bagaimanapun, paling menarik perhatian pada anugerah berprestij yang bersiaran secara langsung dari California itu adalah detik pengumuman filem terbaik.

La La Land yang diperkatakan ramai orang diumum penyampai, Warren Beatty - yang berpasangan dengan Faye Dunaway - sebagai pemenang untuk beberapa saat sebelum ia diperbetulkan sejurus kemudian.

Penerbit La La Land, Jordan Horowitz, kemudian segera menyatakan berlaku kesilapan dan pemenang sebenar diumum, iaitu filem arahan Barry Jenkins, Moonlight.

Selain filem terbaik, Moonlight turut membawa pulang dua anugerah lain iaitu pelakon pembantu lelaki terbaik (Mahershala Ali) dan adaptasi lakon layar terbaik (Berry Jenkins dan Tarell Alvin McCraney.

Buat Casey Affleck pula, ternyata tuduhan salah laku terdahulu tidak menghalangnya meraih gelaran pelakon lelaki terbaik melalui Manchester By The Sea.

Pada 2010, Affleck didakwa terbabit dalam serangan seksual ke atas dua wanita yang pernah bekerja dengannya, iaitu penerbit filem, Amanda White dan pengarah fotografi Magdalena Gorka.

Bagaimanapun, Affleck menafikan segala tuduhan dan pada masa sama mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.

“Ia berjaya diselesaikan akhirnya. Saya terluka dan bersedih - tetapi saya pasti semua juga begitu - dan saya dapat melupakannya. Ia adalah situasi malang terutama kepada pihak yang tidak bersalah,” katanya seperti dilapor The New York Times.

Manchester By The Sea turut membawa pulang satu lagi anugerah iaitu lakon layar terbaik dengan kemenangan Kenneth Lonergan.

Hormati Iran, negara lain

Bagi anugerah pelakon pembantu wanita terbaik ia berpihak kepada Viola Davis melalui peranan dibawa dalam Fences.

Pemberian anugerah diselang-selikan antara lawak dan kritikan peribadi ke atas Presiden AS Donald Trump.

“Siaran secara langsung ini ditonton oleh jutaan warganegara Amerika dan di seluruh dunia lebih daripada 225 negara yang kini membenci kita dan saya fikir perkara itu menakjubkan,” kata Jimmy Kimmel pada pembukaan majlis.

Sementara itu, saat paling memilukan berlaku ketika The Salesman memenangi anugerah filem berbahasa asing terbaik.

Ini adalah anugerah kedua buat pembikin filem dari Iran, Asghar Farhadi, yang terjejas dengan sekatan ke atas individu Muslim dikeluarkan Trump.

Filem berkenaan kerap menjadi tajuk utama akhbar selain membuatkan Asghar tidak mahu menjejakkan kaki ke Anugerah Academy kerana memboikot majlis berkenaan.

Jurutera Iran-Amerika, Anousheh Ansari, naik ke pentas untuk menerima anugerah berkenaan bagi pihak Asghar sambil membacakan kenyataan pengarah itu.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat bersama-sama anda malam ini.

“Ketiadaan ini adalah kerana menghormati rakyat negara saya dan enam buah negara yang tidak dihormati undang-undang tidak berperikemanusiaan yang menghalang kemasukan warganegara Muslim ke AS.

“Ia memecahbelahkan dunia dan kategori musuh AS, serta menimbulkan ketakutan - justifikasi menipu untuk pencerobohan dan perang,” katanya.

Berikut senarai penuh pemenang Oscar hari ini:

  • Filem Terbaik: Moonlight
  • Pelakon wanita terbaik: Emma Stone (La La Land)
  • Pelakon lelaki terbaik: Casey Affleck (Manchester By The Sea)
  • Pengarah terbaik: Damien Chazelle (La La Land)
  • Pelakon pembantu wanita terbaik: Viola Davis (Fences)
  • Pelakon pembantu lelaki terbaik: Mahershala Ali (Moonlight)
  • Lakon layar terbaik: Kenneth Lonergan (Manchester By The Sea)
  • Adaptasi lakon layar terbaik: Barry Jenkins dan Tarell Alvin McCraney (Moonlight)
  • Sinematografi terbaik: Linus Sandgren (La La Land)
  • Ciptaan irama asal terbaik: Justin Hurwitz (La La Land)
  • Lagu asal terbaik: Justin Hurwitz, Benj Pasek dan Justin Paul (La La Land)
  • Suntingan bunyi terbaik: Sylvain Bellemare (Arrival)
  • Filem berbahasa asing terbaik: Asghar Farhadi (The Salesman)
  • Suntingan filem terbaik: John Gilbert (Hacksaw Ridge)
  • Kesan khas terbaik: Robert Legato, Adam Valdez, Andrew R Jones dan Dan Lemmon (The Jungle Book)
  • Reka bentuk pengeluaran terbaik: David Wasco dan Sandy Reynolds Wasco (La La Land)
  • Adunan bunyi terbaik: Kevin O'Connell, Andy Wright, Robert Mackenzie dan Peter Grace (Hacksaw Ridge)
  • Ciri-ciri dokumentari terbaik: Ezra Edelman dan Caroline Waterlow (O.J.: Made in America)
  • Filem animasi terbaik: Byron Howard, Rich Moore dan Clark Spencer (Zootopia)
  • Filem animasi terbaik untuk filem pendek: Alan Barillaro dan Marc Sondheimer (Piper)
  • Dokumentari pendek terbaik: Orlando von Einsiedel dan Joanna Natasegara (The White Helmets)
  • Aksi secara langsung terbaik untuk filem pendek: Kristof Deak dan Anna Udvardy (Sing)
  • Solekan terbaik: Alessandro Bertolazzi, Giorgio Gregorini dan Christopher Nelson (Suicide Squad)
  • Rekabentuk kostum terbaik: Colleen Atwood (Fantastic Beast And Where To Find Them)
Lihat Komen
ADS