Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nazri: Perluas seni budaya ke peringkat antarabangsa

Aktiviti seni budaya dan warisan yang dimiliki oleh pelbagai masyarakat di negara ini perlu terus diperluaskan ke peringkat antarabangsa dalam usaha memartabatkan kesenian tempatan kepada masyarakat luar.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata aktiviti seni bela diri silat sebagai contoh mempunyai peminat yang ramai di luar negara seperti Jepun China, Korea dan Eropah setelah ia diperkenalkan di peringkat antarabangsa sebelum ini.

"Untuk menghidupkan seni ini kita kena bawa ke peringkat antarabangsa agar ia terus hidup sebab mereka (rakyat luar) sangat berminat dengan seni budaya ini. Jadi kalau kita perkenalkan ia di luar sekali gus dapat mengembangkan minat mereka terhadap budaya yang kita miliki," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Pesta Pantai Terengganu Visit Beautiful Terengganu 2017 di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Nazri berkata sebagai permulaan pihaknya bercadang mengadakan malam budaya dan kesenian Terengganu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, bagi memperkenalkan kesenian dan kebudayaan serta makanan rakyat Terengganu kepada pelancong domestik dan luar negara.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri bagi menjayakan program yang bakal dilangsungkan selama empat hari di Istana Budaya selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

"Selain itu kita juga merancang perkenalkan silat kura-kura di persada
antarabangsa kerana saya yakin kesenian ini dapat diperkembangkan pengaruh bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara," katanya.
-Bernama

Lihat Komen
ADS