Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed kecewa dengan keputusan membenarkan filem Beauty and The Beast versi tanpa potongan ditayang di negara ini.

Beliau menyifatkan keputusan itu menunjukkan seolah-olah Malaysia tunduk kepada kepentingan komersial asing.

"Ia kelihatan seperti kerajaan (Malaysia) tunduk kepada kepentingan komersial filem Barat," kata Nur Jazlan kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Nur Jazlan sebelum ini berjanji bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan melayan permintaan Disney untuk menayangkan filem itu jika ia tidak menapis 'adegan gay' di dalamnya.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan Jawatankuasa Rayuan Filem walaupun ia berada di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Namun begitu, beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu dan mempersoalkan kesannya kepada industri filem tempatan.

"Adakah ini bermakna penerbit filem tempatan kini boleh membuat filem dengan elemen LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual)? Atau kita memiiki double standard (untuk filem antarabangsa dan tempatan)? "Soal beliau.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum ini meluluskan filem itu dengan syarat momen gay ditapis.

Tayangan perdana filem itu ditetapkan pada 16 Mac tetapi ditangguhkan sehingga Disney meyakinkan pihak berkuasa Malaysia untuk membenarkan filem itu ditayangkan tanpa tapisan.

Permintaan Disney ditunaikan selepas ia dibawa ke Jawatankuasa Rayuan Filem.

Disney Malaysia dan rangkaian pawagam tempatan semalam mengumumkan bahawa versi tanpa tapisan filem itu akan ditayangkan bermula 30 Mac.

LPF bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Beauty and The Beast adalah sebuah filem oleh syarikat The Walt Disney, sebuah syarikat global yang berpangkalan di Amerika Syarikat

Ia memiliki rangkaian media sendiri, taman dan pusat peranginan, studio hiburan, produk pengguna dan media interaktif.

Lihat Komen
ADS