Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images

WAWANCARA "Pahit getir hidup dan pengorbanan, terpaksa dihadapi demi kejayaan. Terdidik sejak mula tabah berusaha, tanpa cuba melangkah tak ke mana. Di mana kau berada, pencapaian tak tiba dengan mudah."

Lirik lagu nyanyian ratu rock, Ella, dalam “Standing in the Eyes of the World” sinonim dengan perjalanan hidup seorang gadis yang bakal memulakan jendela baru hidupnya mewakili Malaysia di persada antarabangsa.

Samantha Katie James, 22, baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Miss Universe Malaysia 2017 menumpaskan 16 finalis lain bulan lalu dalam keadaan dihambat kecederaan sebelum minggu terakhir pertandingan.

Samantha terjatuh semasa membeli-belah, mengakibatkan kakinya terseliuh dan terpaksa menggunakan tongkat sepanjang pemilihan itu. Beliau terpaksa duduk di tepi sambil melihat rakannya melalui cabaran pentas peragaan dan ujian kecergasan.

Namun, cabaran sebaliknya memberikan 'kekuatan' untuk Samantha untuk menghabiskan perjalanannya dan akhirnya menjadi wakil Malaysia tahun depan.

Samantha dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan oleh keluarga angkat di Klang.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, beliau tampil yakin tetapi agak pemalu, termasuk ketika menceritakan latar hidupnya.

Berkat kasih ibu

"Ibu saya adalah seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina manakala ayah saya pula dari Brazil. Kedua-dua ibu bapa saya bertemu ketika bekerja di Jepun selama sepuluh tahun sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.

"Mereka berpisah sebelum saya dilahirkan...ibu saya seorang ibu tunggal. Saya tinggal bersama keluarga angkat sejak berumur 2 tahun sampai 17 tahun. Keluarga angkat saya berbangsa India dan sebab itulah saya fasih berbahasa Tamil," ujar Samantha.

Membesar dengan keluarga angkat dan ibu tunggal bukannya mudah untuk Samantha. Walaupun sering dibuli di bangku sekolah, beliau menyifatkannya bagaikan latihan untuk dirinya menjadi seorang yang tabah dan kental.

"Ibu antara orang yang paling cekal dan tabah menghadapi dugaan untuk membesarkan saya. Beliau terpaksa bekerja keras dan membesarkan saya dengan cara yang betul.

"Dengan adanya keluarga angkat, ibu merasakan kehidupan saya lebih baik bersama mereka."

Gagal sekali bukan penghujung

Sejak berumur 17 tahun, Samantha mula menjinakkan dirinya dalam arena model antarabangsa. Gadis belasan tahun ketika itu tidak takut menyahut cabaran.

Samantha yang baru berumur 18 tahun, menyertai Miss Universe Malaysia buat kali pertama pada tahun 2012.

"Saya menyertai Miss Universe pada tahun itu semasa berumur 18 tahun tetapi tidak berjaya. Empat tahun kemudian, lihatlah keputusannya setelah berusaha gigih!"

Kegagalan kali pertama bukanlah penghujung untuk Samantha. Ketika usia yang masih muda, beliau pernah bekerja sebagai model profesional di China, Australia, India dan negara-negara Eropah.

Beliau juga pernah bekerjasama dengan pemenang Miss Universe 2015 dari Filipina, Pia Wurtzbach dalam projek penggambaran dua tahun lalu.

Berikut adalah perkongsian beliau dalam wawancara khas bersama Malaysiakini:

Ramai yang ingin memakai mahkota itu, tetapi apakah ciri-ciri seseorang Miss Universe? Adakah sikap seseorang itu penting untuk menjadi wakil Miss Universe Malaysia?

Sudah tentu! Sikap yang baik dan sentiasa berhemah tinggi. Saya pernah disuruh berhenti dari kerja kerana sikap saya yang kurang baik, tetapi itu adalah sebahagian dari proses pembelajaran.

Saya bukanlah seperti yang dulu dan setiap orang belajar dari kesilapan mereka. Sejak memulakan kerjaya sebagai model pada usia 18 tahun, saya terpaksa belajar berdikari.

Walaupun sukar, pengalaman itu menjadikan diri saya seorang yang cekal dan kental.

Apakah motivasi anda untuk menyertai Miss Universe Malaysia pada usia 18 tahun?

Saya masih tercari-cari hala tuju untuk diri saya sendiri pada ketika itu. Mana-mana cabaran yang datang bergolek, saya tetap akan mencuba.

Saya adalah seorang yang suka mengambil risiko dan cuba segalanya yang dapat saya pelajari. Pengalaman menyertai Miss Universe ketika itu agak menyeronokkan dan bertemu finalis-finalis lain dalam industri yang sama. Ada antara mereka yang baru menamatkan persekolahan dan universiti.

Walaupun kurang berjaya empat tahun lalu, saya yakin untuk kembali dalam Miss Universe Malaysia dan akhirnya berjaya!

Dalam masa empat tahun itu, saya telah mendapat pelbagai peluang dalam arena model di luar negara dan sempat mencuba nasib dalam lakonan juga.

Saya pernah terlibat sebagai salah seorang watak dalam filem kolaborasi Malaysia dan Indonesia Kastil Tua pada tahun 2015.

Filem romantis terbaru di China yang dinamakan Huang mengisahkan seorang lelaki yang jatuh cinta kepada watak saya yang baru berpisah dengan teman lelaki terdahulu. Saya berpeluang berbahasa Mandarin dalam watak ini dan dijangka akan ditayangkan di China pada akhir bulan ini.

Kegagalan dalam percubaan pertama di Miss Universe Malaysia empat tahun lalu bukanlah penghalang. Apabila Samantha diumumkan sebagai juara, apakah perasaan pada masa itu?

Sebelum menyertai pertandingan ini, saya selalu mengingatkan diri sendiri bahawa setiap langkah yang diambil adalah demi kejayaan kelak. Sebagai motivasi dan peringatan, saya menulis impian yang ingin saya kecapi dalam nota kecil dan menampalnya dalam bilik. Setiap pagi, lihat di cermin dan memberitahu diri sendiri, "Saya adalah Miss Universe dan saya miliki mahkota itu."

Ramai penulis blog dan penganalisis memberikan ulasan yang positif, malah mengharapkan Samantha bakal beraksi dengan baik di persada antarabangsa.

Ulasan dan pandangan itu sedikit sebanyak memberikan tekanan. Semua finalis dalam acara itu nanti sama-sama hebat dan unik dalam cara tersendiri, lebih sukar daripada pertandingan di sini.

Akan tetapi, saya tetap berpandangan jauh dalam arena itu nanti. Tidak mengapa sekiranya saya tidak berjaya, tetapi saya tahu, peluang untuk memenangi mahkota itu tetap ada.

Apakah persediaan Samantha untuk arena antarabangsa tahun depan?

Saya perlu membuat persiapan yang mencukupi, terutamanya prestasi pertuturan dan pengucapan awam. Selain itu, saya juga akan terlibat dalam kerja-kerja kebajikan bersama kanak-kanak.

Harapan Samantha untuk masa depan kanak-kanak di negara ini?

Impian besar saya adalah untuk membina rumah dan tempat yang selamat untuk kanak-kanak yang kurang berada. Saya tidak pernah mempunyai rumah saya sendiri, mengajak rakan-rakan saya untuk melawat.

Sejak kecil lagi, saya tinggal bersama keluarga angkat dan saya sangat memahami perasaan itu. Mempunyai tempat tinggal sendiri penting untuk perkembangan setiap anak-anak kecil. Saya berharap dapat membimbing dan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Lihat Komen
ADS