Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nora tak sempat sambut ulang tahun perkahwinan
Diterbitkan:  Mar 24, 2017 3:06 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Penyanyi Nora Ariffin reda dengan pemergian allahyarham suaminya walaupun tinggal lagi 16 hari sebelum pasangan itu meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-25, April ini.

Suami Nora, komposer Johan Nawawi dilaporkan meninggal dunia pada pukul 6.30 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya.

Menurut Nora, mereka juga turut merancang gaya pakaian yang akan dipakai pada malam bersejarah itu nanti.

“Kami merancang mengadakan persembahan untuk meraikan majlis ulang tahun itu.

“Arwah suami bercadang untuk memakai tuksedo manakala saya mahu memakai gaun rekaan Azura Couture.

“Tujuannya hanya ingin untuk mengenang kembali saat-saat indah di awal perkahwinan kami. Namun tak sangka dia pergi tiba-tiba," beliau dipetik sebagai berkata oleh Harian Metro.

 

A post shared by NORA ARIFFIN (@itsnoraariffin) on

Sementara itu, Nora sempat berkongsi sifat dimiliki Johan yang paling disanjung tinggi.

Katanya, suaminya itu seorang suami dan bapa yang teramat baik dan tidak mungkin ada sesiapa yang layak menggantikan tempatnya itu.

"Dia adalah sebaik-baik suami dan ayah buat kami semua. Mati hidup semula saya tidak mungkin dapat bertemu pengganti sama sepertinya.

"Walaupun sedih dan terkejut, saya reda dengan pemergiannya dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.

Jenazah Johan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman Kampung Tunku, pada sebelah pagi, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, hari ini.

Pasangan ini dikurniakan empat anak iaitu Mohd Syakir Iman, 24, Mohd Syakir Alif, 19, Putri Nur Dahlia, 13, dan Putri Nur Fatehah, 5.

Lihat Komen
ADS