Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zul Ariffin tawar motosikal bernilai RM70,000 buat peminat
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 2:02 PM
Dikemaskini: 6:08 AM

Sukar untuk dipercayai, tetapi begitulah hakikatnya apabila pelakon Zul Ariiffin sanggup menawarkan motosikal miliknya bernilai RM70,000 kepada penonton filem J Revolusi yang bertuah.

Hal ini juga menyaksikan buat pertama kalinya dalam sejarah perfileman negara, seorang pelakon utama dalam sesebuah filem sanggup menghadiahkan barangan peribadi bernilai puluhan ribu ringgit kepada peminat.

Zul berhasrat untuk menghadiahkan motosikal jenama Ducati Hypermotard 821 tahun 2014 bagi kategori hadiah utama sebagai tanda penghargaan buat peminat kerana menyokong filem terbaru dilakonkannya itu.

Motosikal berkenaan digunakan Zul bagi menjayakan beberapa babak dalam J Revolusi.

Selain motosikal, peminat turut berpeluang memenangi pakaian pernah dipakai oleh aktor berusia 30 itu seperti sut biru, baju kemeja biru dan pink serta hadiah saguhati untuk pertandingan yang bermula dari 17 Mac hingga 2 April itu.

Filem aksi diarahkan oleh Zulkarnain Azhar itu memaparkan kisah pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Jay Zulkarnain - watak dilakonkan oleh Zul - yang berusaha menyelamatkan adiknya Dian (Fazura) diculik pengganas.

Naskhah yang memperuntukkan kos sebanyak RM2.7 juta itu turut dijayakan oleh Izara Aisyah, Nur Fazura, Farid Kamil, Azad Jazmin, Iedil Putra dan ramai lagi.

Filem diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd dengan kerjasama Infinitus Productions itu kini mencatatkan jualan pecah panggung iaitu sebanyak RM6.8 juta selepas empat minggu ditayangkan bermula 2 Mac lalu.

Lihat Komen
ADS