Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Ed Sheeran hiba lihat kanak-kanak Liberia
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 4:05 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Pengalaman mengunjungi salah sebuah negara termiskin di dunia iaitu Liberia sewaktu menyertai satu kempen baru-baru ini, benar-benar menyentuh perasaan penyanyi Ed Sheeran.

Semasa mengikuti lawatan anjuran badan kebajikan Comic Relief itu, Ed sempat melawat sebuah sekolah di West Point iaitu sebuah kawasan miskin paling besar di ibu negara Liberia, Monrovia.

Penyanyi berasal dari England itu berkata, keadaan masyarakat di situ amat teruk dan jauh lebih buruk daripada yang dibayangkan.

Namun, di sebalik kesukaran dan kepayahan yang dihadapi, kanak-kanak di kawasan itu tetap bersemangat untuk belajar, katanya.

“Saya amat terpesona dengan keghairahan mereka untuk belajar. Mereka benar-benar ingin belajar dan mempunyai impian besar untuk masa depan.

“Walaupun tinggal di antara tempat paling miskin di dunia, kanak-kanak itu tidak membiarkan situasi menghalang keinginan mereka.

“Apabila ditanya tentang cita-cita, kebanyakan mereka menjawab ingin menjadi doktor, guru dan ahli politik, ia adalah respon yang biasa didengari tetapi saya dapat rasakan mereka maksudkannya,” katanya seperti dilapor BBC baru-baru ini.

Menurut Ed yang juga penulis lirik dan penerbit, kanak-kanak berkenaan memasang azam untuk berjaya selepas menyaksikan kebanyakan penduduk tempatan tidak mempunyai pekerjaan.

Kata penyanyi Thinking Out Loud itu, ratusan ribu penduduk tinggal berhimpit-himpit di West Point, dan kebanyakan mereka hidup di tempat kotor, justeru peluang mendapatkan pendidikan tidak terbuka buat semua kanak-kanak di situ.

'Beri mereka peluang'

Seorang budak perempuan bernama Peach turut mencuri tumpuan Ed apabila disifatkan berlainan daripada kanak-kanak lain kerana tidak memakai pakaian seragam sekolah.

Menurut Ed, Peach, 12, mulai tidak bersekolah sejak kematian bapanya akibat krisis Ebola dan ibu kanak-kanak itu tidak mampu untuk menyekolahkannya lagi.

Bagaimanapun, kisah Peach bukanlah baru kerana ramai lagi kanak-kanak lain mengalami nasib sama.

“Peach ingin menjadi pemuzik apabila besar nanti dan siapa tahu jika ia boleh menjadi kenyataan. Tetapi buat masa sekarang Peach terpaksa meninggalkan sekolah dan bekerja di tempat berbahaya dan kotor demi menyara kehidupan keluarganya."

Kata Ed, dengan peluang yang sewajarnya, Peach boleh menggapai impiannya untuk menjadi seorang penyanyi, guru ataupun memerintah negara itu.

“Beri peluang kanak-kanak ini berjuang. Dengan sumbangan orang ramai, kanak-kanak ini dapat kembali ke sekolah dan mendapatkan pendidikan.

"Bagi kebanyakan daripada mereka ini hanya peluang untuk masa depan yang lebih baik dan kehidupan di luar kawasan setinggan,” katanya.

Lihat Komen
ADS