Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Memilih calon suami sama sekali tidak mudah, apa lagi menyamakannya seperti membeli baju di kompleks beli-belah.

Bagi pelakon Ummi Nazeera, dia mengambil sikap sangat berhati-hati bagi mengelak sebarang masalah pada masa depan.

Selain beberapa ciri yang diingini, dia menganggap lelaki yang ditakdirkan bersatu dengannya nanti adalah seseorang yang mampu mengawal sikap agresif atau marah.

Dengan adanya sifat itu pada pasangan hidupnya, ia umpama bonus bagi cintanya.

Kata Ummi, keutamaan untuknya adalah mengahwini lelaki yang sanggup bertahan dengan sifat semula jadi dirinya yang mempunyai sikap bertentangan.

“Saya nampak bakal suami saya mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dan mampu mengawal amarah.

“Dari situ, kita boleh tahu sama ada seseorang lelaki itu sesuai menjadi bapa kepada anak kita atau tidak,” katanya.

Ummi atau nama penuhnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin ditemui pada majlis pelancaran koleksi fesyen jenama Umma dan kosmetik Nita di Kuala Lumpur semalam.

Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum pelakon drama bersiri popular Patahnya Sebelah Sayap itu bakal menamatkan kehidupan bersendiriannya dengan seorang doktor.

Tunang Ummi itu yang hanya dikenali dengan nama Izzar berasal dari Kuala Lumpur namun bekerja di sebuah hospital di Sarawak.

Ummi mengikat tali pertunangan dengan Izzar pada sebuah majlis tertutup di kediaman keluarganya 1 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, hingga kini Ummi masih merahsiakan identiti penuh bakal suaminya itu dan hanya akan mengumumkan tarikh pernikahan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Menurut Ummi, selama ini dia tidak pernah mengimpikan untuk membina rumah tangga dengan lelaki yang memikul tugas mengubati penyakit.

Namun, atas alasan memiliki pelbagai persamaan antara mereka, ternyata Izzar terus menerus ‘membeli jiwa’ Ummi, selain ibunya - yang bertanggungjawab memperkenalkan mereka berdua.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk berkahwin dengan seorang doktor, tetapi dia benar-benar pandai mengambil hati kami sekeluarga.

“Perkara yang buat kami bertambah rapat adalah apabila dia suka mengembara dan banyak mengajar saya selok-belok mendaki gunung.

“Dia juga menjadi insan yang sering mengajar saya erti kehidupan,” katanya.

Lihat Komen
ADS