Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
KDN haramkan 19 penerbitan
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 6:36 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap 19 penerbitan yang mengandungi kandungan memudaratkan.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata warta perintah larangan dikeluarkan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Beliau berkata perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

"Kesemua penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, mungkin memudaratkan kemoralan, mungkin memudaratkan kepentingan awam dan mungkin memudaratkan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di Putrajaya , hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 13 penerbitan didapati mempunyai isi kandungan atau artikelnya berunsur seks serta memuatkan gambar lucah keterlaluan yang dilihat tidak bersesuaian dengan norma kehidupan masyarakat Malaysia.

Penerbitan itu adalah Revenge of the Sarong Party Girl, Fifty Shades of Bliss: The Ultimate Guide To Spicing Up Your Sex Life, Maxim (Vol 18, No. 9 November 2014) (USA Edition), Maxim (Vol 18, No. 5 Jun 2014) (USA Edition), Pop Psychedelic, Only Two Can Play, Black Men Special Edition, The Loving Touch, The Book of Loving Sex, Kamasutra & Kecerdasan Seks Modern, Nikmatnya Melayari Bahtera Malam Pertama, Pelacur Kelas Pertama dan Nazi Goreng.

Alwi berkata tiga penerbitan lain didapati mengandungi fakta yang mengelirukan dan bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di negara ini.

Tajuk penerbitan tersebut adalah Bila Anak-Anak Bertanya Tentang Allah Dan Alam Ghaib Inilah 48 Jawapannya…, Tafsir Al-‘Usyr Al-Akhir dari Al-Quran Al-Karim Juz (28,29,30) Disertai Hukum-Hukum Penting Bagi Seorang Muslim dan The Gospel of Ali (Penghargaan Islam atas Yesus).

"Penerbitan-penerbitan tersebut juga dilihat boleh mengelirukan orang ramai dan dikategorikan sebagai menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya," katanya.

Tiga penerbitan lagi pula mempunyai unsur-unsur mempromosikan perjuangan komunis dan Daulah Islamiyyah.

Tajuk penerbitan yang dilihat memperjuangkan ideologi komunis adalah Hidup Bagaikan Sungai Mengalir (Kisah 16 Orang Wanita Dalam Gerakan Anti-Jepun, Anti-Penjajah dan Kemerdekaan di Malaysia-Singapura 1938-1989) dan Manifesto Komunis, manakala Al-Fatihin: Surat Kabar Bagi Muhajirin Berbahasa Melayu di Daulah Islamiyyah pula dilihat mengandungi unsur doktrin radikal agama dan ekstrimis.

"Kesemua penerbitan yang diterbitkan di dalam negara dan luar negara tersebut dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda di mana tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum.

"Sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301," katanya.

Aduan boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian telefon 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

-Bernama

Lihat Komen
ADS