Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selangor, Indonesia terbit buku audio sastera klasik
Diterbitkan:  Apr 12, 2017 6:51 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Ketika minat membaca dalam kalangan masyarakat semakin berkurang, kini muncul idea lebih segar dengan penerbitan buku audio yang hanya memerlukan telinga untuk mendengar.

Sehubungan itu, penerbit buku sastera Indonesia, PT Balai Pustaka Indonesia menjalinkan kerjasama dengan syarikat dari Selangor, Thinkbyus Sdn Bhd bagi menerbitkan buku audio sastera klasik Indonesia.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara dua entiti itu berlangsung di pejabat Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia di Jakarta, semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah pengarah Jenderal Kebudayaan Indonesia, Hilmar Farid dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Hilmar dalam ucapannya menekankan pentingnya langkah kerjasama antara kedua-dua negara untuk melestarikan kebudayaan, khususnya dalam bidang sastera.

“Buku audio ini merupakan jawapan masa depan untuk menjaga tradisi bersama, khususnya di bidang sastera klasik supaya menjadi lebih baik lagi,” ujar Hilmar seperti dilapor dalam laman web kementerian tersebut.

Pada kesempatan yang sama, Azmin turut menyampaikan penghargaan terhadap kerjasama Indonesia – Malaysia dalam bidang sastera.

"Kegiatan ini bertujuan untuk menghidupkan kembali khazanah dan budaya sastera Melayu melalui buku audio antara Indonesia dan Malaysia.

"Hal ini penting untuk menjalin kerjasama tradisi, keilmuan dan kesusasteraan untuk mengangkat martabat kedua bangsa,” kata Azmin.

Ditemui selepas majlis MoU berkenaan, Pengarah Utama PT Balai Pustaka, Saiful Bahri berkata sastera klasik Indonesia ketika ini menjadi keutamaan untuk diterbitkan sebagai buku audio.

“Buku-buku klasik Balai Pustaka dari tahun 1917 hingga 1920, seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Siti Nurbaya akan berada dalam daftar pertama untuk kami terbitkan dalam bentuk buku audio," katanya.

Lihat Komen
ADS