Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Puisi adalah sepilihan ungkapan yang telah dikhususkan dalam memberi sebanyak-banyak makna dalam sedikit kata-kata. Misalnya puisi Malam Lebaran oleh Sitor Situmorang atau puisi A Samad Said, bertajuk Penyair (1973).

Tetapi tidak dinafikan juga puisi adalah sepilihan kata-kata yang panjang untuk memberi maksudnya yang tersendiri, misalnya Lewat Ladang Jagung ke Chicago Blues tulisan Baha Zain.

Namun puisi selalunya sinonim dengan pemilihan kata-kata yang indah atau kata-kata yang tepat, seperti puisi menurut Za’aba ialah "karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa" (A. Halim Ali, 2006:9).

Sesebuah puisi biasanya akan menimbulkan beberapa persoalan misalnya soal ketuhanan, agama, kritikan sosial atau kasih-sayang. Maka daripada persoalan-persoalan yang paling penting dan dominan dalam sesebuah puisi inilah akan mewujudkan satu gagasan tema yang kuat dan akan memberi keseluruhan maksud sesebuah puisi tersebut.

Tidak itu juga, persoalan-persoalan tersebut secara langsung akan menzahirkan nilai dan pengajaran bagi menguatkan lagi spiritual sesebuah puisi.

Mungkin disalah erti

Daripada tema, persoalan, nilai dan pengajaran akan memanjangkan lagi skruktur sesebuah puisi misalnya corak dalam sesebuah puisi sama ada satira, elegi, protes, didaktisisme dan beberapa lagi corak.

Kemunculan sesuatu corak dalam puisi akan memberi hubung kait kepada gaya bahasa. Misalnya jika sesebuah puisi cuba menggunakan corak didaktisisme tetapi gagal menitik beratkan penggunaan diksi yang tepat atau gaya bahasa yang sesuai, kesannya akan berkuranngan.

Misalnya, pengunaan kata "kita tidak boleh berdiam bahasa", adalah lebih mantap jika ditulis "kita tidak boleh berdiam suara". Ini kerana jika dinilai dari konteks pencernaan fizikal, "suara" adalah satu isyarat yang lebih tepat bagi menimbulkan aksi.

Namun jika sesebuah puisi itu menggunakan corak elegi, "bahasa" adalah penggunaan yang sedikit sesuai berdasarkan nada penyampaian aksinya iaitu perasaan elegi.

Namun pada sesetengah keadaan, sesebuah puisi mungkin disalahertikan atau diberi tanggapan buruk. Maka lahirlah puisi-puisi yang dianggap rasis, berbaur kecaman di luar norma-norma kemanusiaan, tatatusila dan mengajak membaca ke arah kebencian.

Dan kebencian itu pula boleh terbahagi kepada dua, sama ada negatif atau positif.

Jika kita melihat karya-karya Widji Thukul, sajak-sajaknya sering mengajak pembaca melawan, seperti kalimatnya yang terkenal itu: "hanya ada satu kata - lawan!"

Peringatan adalah sajak melawan dan jika kita melihat keseluruhannya, ia mendorong ke arah kebencian. Tetapi kebencian yang didorong itu bersifat positif yakni melawan dan membenci ketidakadilan, penindasan serta salah laku penguasa.

Penggunaan corak dalam sesebuah puisi juga sering didokong kuat oleh penggunaan gaya bahasa yang tidak lewah atau membazir.

Malang bagi sesebuah puisi jika di dalamnya adalah susunan kata-kata polos yang dicipta dengan gaya bahasa salah serta pemaknaan yang tersasar. Justeru itu boleh dianggap puisi yang gagal.

Puisi mencerminkan watak

Merujuk kepada sebuah catatan Baha Zain untuk diskusi di SOAS, London, saya tertarik dengan pengucapannya di para ke-10 dalam catatan tersebut: “Kesusasteraan bukan sekadar alat pengucapan sosial, tetapi sebagai satu penemuan peribadi dan suatu kerja seni yang khusus untuk kesempurnaa penciptaan dan bukan untuk kegunaan di luar dirinya semata-mata. Ia menjadi wadah indah untuk melahirkan ide, perasaan, cita-cita, kebenaran pengalaman manusia dan bukan sekadar masalah masyarakatnya."

Maka di sini pengucapan sesebuah puisi itu sangat terkait rapat juga dalam kebebasan memilih gaya dan corak penghasilan sesebuah puisi supaya melahirkan karya yang beragam, bermutu dan boleh menjadi sedikit sebanyak sumbangan kepada pembangunan seni dan sastera itu sendiri.

Petikan para tersebut juga setidak-tidaknya menunjukan kepada kita bahawa pemuisi seharusnya mengawal keindahan bahasa.

Lihat bagaimana Usman Awang memilih kata-kata ketika dia menulis dengan nada agak keras namun unsur keindahannya tetap mekar. Misalnya: “Suatu bangsa tidak menjadi besar tanpa memiliki sifat kurang ajar”.

Menghasilkan puisi juga adalah menghasilkan buah fikiran. Melaluinya kita akan dapat mengetahui bagaimanakah watak dan sifat seseorang penulis.

Menurut Baha Zain seorang penulis ialah pemerhati, pengulas dan pengkritik. Penyair dalam keadaan apa pun ialah nadi, hati nurani, pemimpin dan jurubahasa kebenaran, kemanusiaan dan masyarakatnya.

Melalui keistimewaan kreatif, dia menuliskan pengalaman suka duka dan cita-cita bangsanya. Dia menanamkan idealisme dan keyakinan, sikap berani dan optimis, yang menjadikan satu-satu bangsa itu bergerak ke depan.

Namun jika kita amati ada puisi berbaur dengan anasir yang boleh meruntuhkan kemuafakatan terutama merujuk kepada kemajmukan sesebuah negara, seperti Malaysia.

Puisi-puisi sedemikian tidak wajar dijadikan bahan tatapan dan bacaan. Kebebasan berfikir dan meluahkan rasa jika mendatangkan kesan negetif, semestilah tidak baik dari segi pertumbuhan daya fikir sesebuah bangsa dalam negara.

Melihatkan kejituan sesebuah puisi di dalam Puisi Pagi Jumaat, saya merasakan tidak perlu jika dikaji mendalam kerana keseluruhan strukturnya agak polos dan tidak sarat dengan nilai perbincangan.

Ia nyata jauh sama sekali dengan keindahan kata-kata atau kekuatan tema pernah dibawa Gus Mus (Kiai Ahmad Mustofa Bisri). Beliau ialah seorang ilmuan dan penyair yang sentiasa menitikberatkan soal spiritual dalamm karyanya.

Saya masih ingat beberapa tahun, ketika bertanya kepada Pak Samad Said mengenai petua menulis.

Pesannya: Baca, baca dan baca!

Kemudian beliau memberi pesan: Isilah kehidupan dengan kebajikan.” Dan terakhir, beliau mengingatkan: Telaah hanya karya yang klasik-lama dan moden”.

Mengapa? Kerana sesuatu penulisan haruslah dimulai dengan pembacaan demi pembacaan, dan kehidupan harus diisi kebajikan kerana kerja membaca dan menulis adalah kerja pengabdian.

Dan pembacaan akhir sekali harus ditelaah sama ada merujuk kepada renda-renda abjad atau pembacaan melalui panca indera.

Ia mengingatkan kita supaya sering bermuhasabah bahawa menjadi seorang penulis haruslah sentiasa bersikap baik untuk melahirkan karya yang baik.

Selamat memprotes keangkuhan manusia!


ARAFAT HAMBALI pemenang Hadiah Sastera Selangorkini 2015 dan penulis buku kumpulan puisi Kepak-kepak Malam Dari Sorga terbitan Selut Press dan novela Sayap V terbitan DuBook Press.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS