Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kalau dapat bersemuka, antara perkara pertama ingin dilakukan Noorkumalasari ialah mendakap erat kakaknya yang sudah lama dirindui.

Masih dibelenggu tanda tanya, Noorkumalasari berkata, dia berhasrat sangat untuk mengetahui maklumat sebenar mengenai Anita Sarawak.

Kata Noorkumalasari, berita terbaru diterimanya ialah kira-kira tiga minggu lepas, dan disampaikan kakaknya.

“Kata kakak, tidak perlu lagi risau sebab Kak Nita ada menghubungi. Suami Kak Nita, Mahathir sedang menjalankan perniagaan di sebuah bandar dan Kak Nita mengikutinya.

“Kak Nita juga berada dalam keadaan sihat malah hubungannya dengan suami baik-baik saja,” katanya kepada media ketika ditemui di majlis tayangan perdana program Salam Ramadan Kosong Kosong Astro di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Noorkumalasari, ada orang cakap pernah terjumpa Anita di Singapura, tapi tidak dapat dipastikan sama ada itu memang Anita atau bukan.

Dibayangi pelbagai gosip, beberapa pihak mendakwa Anita, 65, kini berada di Las Vegas - bandar yang pernah didiaminya sebagai penghibur suatu ketika dulu.

Keadaan itu menyebabkan keluarga mereka menjadi risau, terutama Noorkumalasari, 61, yang menjadi antara orang paling rapat dengannya.

Menjelaskan keadaan sebenar, Noorkumalasari berkata, jika memang Anita ada terguris perasaan atau seumpamanya, dia patut berterus terang dan berbincang untuk mengatasi kekeliruan itu.

"Saya pun tak tau apa sebab hak ini boleh terjadi. Dia tak ada beritahu saya walaupun dulu dia selalu telefon saya malam-malam.

"Kadang-kadang kami bersembang lama, ada pernah sampai dua jam dia cerita masalah yang dihadapi.

"Pada masa itu saya lega sebab dia bercerita pada saya," katanya.

Selepas bertahun tidak bertemu atau mengetahui khabar berita, Noorkumalasari berkata, sekurang-kurangnya biarlah Anita menghubungi keluarga di sini dan memaklumkan keadaan dirinya.

Apa yang diingini Noorkumalasari kini, katanya, ialah melihat kakaknya itu di depan mata.

"Cukuplah dia ada depan mata, saya nak tengok dia sihat semuanya," katanya.

Pada masa sama sikap Anita yang mendiamkan diri juga mengundang masalah.

"Keadaan sekarang buat orang tertanya-tanya. Sebab itu timbul macam-macam fitnah," katanya.

Lihat Komen
ADS