Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Matlamat kerajaan mengadakan sesi dialog #TN50seni bersama penggiat berkaitan baru-baru ini sudah lari dari matlamatnya apabila Mat Over menampar David Teo.

Pada pandangan bekas pemain dram Search, Yazid, insiden berkenaan sebaliknya merugikan kerajaan apabila yang lebih menjadi perhatian ramai selepas itu ialah Mat Over sendiri, selain David serta pengacara, Datuk Rosyam Nor.

Dialog Transformasi Nasional 2050 itu, kata Yazid, sepatutnya membincangkan cara membangunkan industri hiburan di negara ini.

Sebab itulah, katanya, penggiat seni diajak datang beramai-ramai ke Seri Perdana di Putrajaya bagi membolehkan perbincangan dijalankan.

"Tapi, apa yang wartawan dapat pada hari itu? Sudah jadi cerita lain, 'potong stim' sebab nama Mat Over pula naik.

"Sedangkan penggiat seni dijemput untuk membincangkan masalah dan kekurangan dalam industri kita di depan Datuk Seri Najib Razak

"Akhirnya malam itu, tak ada apa-apa yang kita dapat," katanya kepada Malaysiakini.

Yazid ditemui pada sidang media memperkenalkan kumpulan Rampage di Kuala Lumpur hari ini. Walaupun baru diperkenalkan, Yazid memberitahu, Rampage sudah wujud sejak 17 tahun lalu.

Pada 17 Mei lalu, majlis dialog #TN50seni bertukar kecoh apabila Mat Over - atau nama sebenarnya Sulaiman Yassin - tiba-tiba menampar David yang terkenal sebagai penerbit filem Melayu.

Bagaimanapun David menafikan beliau berlaku kurang ajar ketika itu.

Kejadian itu berlaku di depan Najib. Rosyam pula adalah hos acara berkenaan. Keadaan kemudian menjadi tenang selepas kedua-dua tokoh terbabit dipanggil dan bersalaman di depan perdana menteri.

Orang Islam usah ikut perasaan

Malam tadi ketiga-tiga penggiat seni itu sekali lagi dipertemukan - malah duduk bahu membahu - pada majlis dihadiri Najib.

David diletakkan di kerusi yang diapit Mat Over dan Rosyam.

Dalam ucapannya Najib menjadikan Mat Over dan David sebagai contoh bagi memupuk perpaduan di negara ini.

Kata Yazid, dia tidak menolak kemungkinan pertengkaran antara Mat Over dan David itu ada kaitan dengan masalah peribadi lama yang menunggu masa untuk meletus.

"Kita lihat David seorang penerbit filem dan Mat Over pelakon dan pelawak. Mungkin ada kaitan di situ yang kita tidak tahu.

"Mungkin ia bagai retak menanti belah," katanya.

Dalam pada itu, Yazid turut menasihati agar orang Islam sentiasa beringat tentang asas agama supaya dapat mengawal situasi ketika marah.

Katanya, perasaan tidak boleh diikutkan sangat.

"Melayu bergama Islam jangan mengikut perasaan semata-mata walau sekalipun dalam keadaan marah teramat sangat pada ketika itu.

"Jika kita benci dan berang sekali pun, kita perlu berpandu kepada agama sebelum mengambil tindakan agar ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang sekeliling.

"Dalam apa jua situasi, kita perlu hormati semua bangsa," katanya.

Yazid turut mengulas mengenai aspek keselamatan ketika acara itu berlangsung.

Menurutnya, tahap keselamatan perlu ditingkatkan kerana ia membabitkan acara di rumah seorang perdana menteri.

"Saya lihat terdapat kelemahan pada atur acara di kawasan rumah perdana menteri. Dewan itu juga pernah dilawati oleh orang kenamaan, jadi sepatutnya kawalan keselamatan memang ketatlah.

"Orang tak jangka kejadian begitu boleh berlaku pada perdana menteri.

"Mat Over boleh buat apa yang dia sudah buat. Sesenang itu orang boleh meluru ke arah perdana menteri. Justeru kita kena fikirkan kawalan lebih ketat," katanya.

Lihat Komen
ADS