Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seperti apakah syurga dan neraka itu?

Persoalan mengenai syurga dan neraka pasti pernah bergetar dalam benak setiap orang Islam yang mengimani kewujudan alam akhirat.

Begitupun, pernahkah kita berusaha menemukan jawapannya atau sekadar membiarkan persoalan itu berlalu begitu saja seiring dengan kesibukan kita mengejar dunia?

Buku karangan Abdulrrohman Sa’id Al-Qohtani yang diterjemahkan oleh Effendi Abu Ahmad ini memberikan penjelasan mengenai hakikat syurga dan neraka menurut dalil berdasarkan al-Quran dan hadis.

Penjelasan yang diberikan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran lebih jernih mengenai realiti kehidupan di kampung akhirat ini yang sememangnya perlu ada dalam pengetahuan setiap orang yang mengaku dirinya Islam.

Apakah hakikat syurga itu?

Dalam al-Quran, syurga juga disebut sebagai jannah, darussalam, darul muqomah, darul khulud, jannatul ma'wa, jannatul adn, firdaus, jannatul naim, muqomul amin, maqadu dan shidqin.

Gambaran syurga ini dijelaskan oleh Anas RA dari hadis yang beliau riwayatkan daripada Rasulullah dari peristiwa Israk dan Mikraj yang berbunyi:
“Kemudian Jibril dan saya pergi hingga sampai di Sidraotul Muntaha, maka ia diselimuti dengan warna-warna yang saya tidak tahu apakah itu. Beliau melanjutkan: Kemudian aku masuk syurga, ternyata di dalamnya ada janbadzh-janbadzah yang terbuat dari mutiara dan tanahnya dari minyak kasturi.”

Supaya tidak terpedaya

Apakah hakikat neraka itu?

Dalam al-Quran, neraka pula juga disebut sebagai jahannam, al-jahim, sair, saqor dan hawiyah.

Neraka ialah lokasi untuk pendosa dan pelaku maksiat. Ia disiapkan bagi mereka yang selalu mengisi hidup dengan hembusan api maksiat dan bermuara hidup pada sarang syaitan.

Allah menyebutkan dalam al-Quran mengenai dahsyatnya kehidupan di neraka ini sebagaiman surah ad-Dukhan ayat 43-49:
“Sesungguhnya pohon Zaqqum itu makanan orang yang banyak berdosa. (Ia) seperti kotoran minyak yang mendidihkan di dalam perut. Seperti mendidihnya air yang amat panas. Peganglah dia kemudian seretlah dia ke tengah-tengah neraka. Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya siksaan dari air yang amat panas. Rasakanlah, sesungguhnya kamu orang yang perkasa lagi mulia.”

Pengarang membawa kita menyedari bahawa persoalan-persoalan syurga dan neraka merupakan sesuatu yang amat penting untuk kita semua.

Tidak lain kerana pada suatu masa nanti, manusia pasti meninggalkan dunia ini dan akan ditempatkan sama ada di syurga atau neraka.

Apa yang menarik, buku ini bukan hanya menjelaskan mengenai hakikat kampung akhirat tetapi turut memperjelaskan tentang hakikat kesudahan dunia yang kita diami hari ini.

Penjelasan pengarang mengenai hal ini akan membawa pembaca untuk tidak terpedaya, tidak tertipu dengan fitnah dan permainan dunia lantas bersedia dan bersegera mengerjakan amalan yang menghantarkan kita ke syurga dan menjauhkan kita dari api neraka.

Sedang ke sana

Buku setebal 98 muka surat ini mungkin agak nipis untuk menyingkap gambaran kehidupan dalam syurga dan neraka. Bagaimanapun ia boleh difahami kerana hakikatnya akal kita tidak mampu untuk menggambarkan raliti kenikmatan syurga atau kedahysatan neraka.

Buku ini cukup untuk memberi pengetahuan kepada pembaca bahawa syurga atau jannah meliputi segala macam kenikmatan, kelazatan, keindahan, kesenangan dan penyejuk mata. Ia adalah sebuah taman yang teramat indah sehingga para penghuninya tidak pernah merasa susah.

Neraka pula tempat yang penuh dengan seksaan dan azab. Ia adalah adalah jurang yang bergolak hawa panasanya - siap untuk membakar siapa saja yang dilemparkan ke dalamnya.

Di akhir pembacaan, pembaca akan terus mengimani bahawa syurga dan neraka itu wujud. Ia tidak pernah lenyap. Ia tidak pernah akan musnah. Allah sudah menciptakan syurga dan neraka sebelum manusia tercipta lagi.

Pengarang membawa kita menyedari bahawa syurga dan neraka adalah kampung akhirat. Kampung masa depan bagi semua makhluk Allah. Kita semua akan mengakhiri perjalanan hidup di dunia untuk menuju ke kampung ini.

Tanpa kita sedar, kita semua sedang berjalan menuju ke sana!

Tajuk: Potret Kampung Akhirat
Pengarang: Abdurrohman Sa'id al-Qohthoni
Penerbit: Al-Qowam Publishing
Tebal: 98 muka surat


NOR RAIHAN ABU BAKAR bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

Lihat Komen
ADS