Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Miranda Kerr kahwini bos Snapchat
Diterbitkan:  May 29, 2017 1:42 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Bekas isteri pelakon Orlando Bloom, Miranda Kerr, menamatkan status jandanya dengan mengahwini bilionair dan pengasas aplikasi Snapchat, Evan Spiegel.

Laporan menyatakan, walaupun majlis itu diadakan secara kecil-kecilan, ia tetap nampak mewah di kediaman Spiegel yang bernilai AS$16 juta (RM68.3 juta).

Dengan harta pasangan itu yang dianggarkan mencecah lebih AS$6.7 bilion (RM29 bilion), mereka boleh saja memilih mana-mana destinasi untuk perkahwinan berkenaan, namun memilih untuk mengadakan hari istimewa itu di tempat kesukaan mereka.

Miranda, 34, dan Spiegel, 26, mengikat tali perkahwinan di kediaman bilionair itu di Los Angeles.

Mereka dilaporkan bertunang pada Julai tahun lalu.

Ia adalah perkahwinan kedua model dari Australia itu selepas Bloom, bapa kepada anak mereka Flynn.

Media melaporkan sebelum ini, Bloom - pelakon Lord of the Rings - sebelum ini didakwa terlalu gemar berparti dan sering mabuk hingga kadang-kala berubah bukan seperti dirinya.

Dua-dua konservatif

Menurut Miranda, perkara membuatkan dia jatuh cinta kepada Spiegel adalah kerana sifat pemuda itu yang gemar duduk di rumah dan melakukan aktiviti bersama.

“Spiegel adalah seorang yang gemar lepak di rumah seperti saya. Kami mengadakan majlis makan malam dengan rakan - dan dia juga menggemari masakan saya.

“Kami tidak gemar keluar. Lebih baik duduk di rumah dan tidur awal. Dia baru saja berusia 25 tahun tetapi kematangannya seperti 50-an.

“Dia juga tidak suka berparti. Walaupun bekerja di Venice, dia tetap pulang ke rumah,” katanya.

Seperkara lagi mengenai Spiegel disukai Miranda adalah keperibadian dan keikhlasan ditunjukkan lelaki itu yang memenangi hatinya.

“Kami berdua agak konservatif walaupun berasal dari dunia berlainan. Tetapi kami mempunyai nilai persamaan, kesetiaan, keluarga dan kejujuran. Saya mempercayai orang lain dengan mudah.

“Bagaimanapun, Spiegel seorang yang lebih berhati-hati dalam tindak tanduk diambil, sikap itu memberi keseimbangan baik dalam hubungan kami,” katanya seperti dilapor news.com.au.

Miranda dan Spiegel bertemu pada 2014 di sebuah majlis makan malam di New York dan mula berpacaran setahun kemudian.

Berita itu diumumkan Miranda menerusi media sosial.

“Saya berkata ya,” tulisnya sambi memuat naik sekeping gambar besar dengan cincin berlian yang besar di tangan.

Dalam satu temubual bersama majalah Paris Match, Miranda menyifatkan Spiegel sebagai seorang “lelaki tradisional.”

Malahan dia menganggap Spiegel sebagai teman jiwa yang begitu menyokong terhadap perniagaan kosmetik dimilikinya, Kora.

“Kami boleh berbual selama berjam-jam untuk bercakap tentang apa saja. Dia mendengar dan memahami saya.

“Dia bekerja keras dan berbangga saya memulakan perniagaan sendiri. Dia memberikan saya dengan terlalu banyak nasihat," katanya.

Lihat Komen
ADS