Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bagi mengelak kesucian Ramadan tercemar dengan perasaan marah penyanyi Misha Omar memiliki satu petua - jangan berikan tumpuan berlebihan kepada persediaan baju raya pada saat akhir.

Kata Misha untuk mengelakkan kesilapan akibat emosi yang tidak stabil itu terjadi, dia membuat persiapan seadanya dengan lebih awal.

“Selepas melahirkan anak, saya tidak lagi gigih mencari baju raya ketika berpuasa kerana tidak mahu merosakkan mood.

“Apabila sedang lapar, saya memang mudah jadi marah, terutama kalau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Saya boleh berubah jadi monster tiba-tiba," katanya sambil ketawa.

Misha atau nama penuhnya Aisah Omar, 35, ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, penyanyi Bunga Bunga Cinta itu berkata, dahulu dia seorang yang kurang menitikberatkan persediaan awal terutama menjelang perayaan.

Katanya, semua tugas sebelum ini sering diserahkan kepada Mimi Omar, kakak yang merangkap sebagai pengurus kerjayanya.

Bermula tahun ini, Misha memasang niat mahu melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan keupayaan sendiri.

“Dulu semua Kak Mimi buat. Apabila sudah berkahwin, semuanya saya nak lakukan sendiri kerana ia memang bagus untuk mengajar saya berdikari,” katanya.

Terkandas dekat 24 jam

Untuk hari raya kali ini, kata Misha, dia sekeluarga membuat persediaan awal. Justeru, semuanya sudah disiapkan sejak minggu lepas lagi.

Misha berkahwin dengan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia, Firos Ezzwan Rossly, pada 2 Mei 2014.

Hasil perkongsian hidup Misha dengan Firos, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa.

Selain itu Misha juga memelihara dua anak angkat, Muhammad Adam Emir, 11, dan Humaira Lateefa, 5.

Menjalani kehidupan sebagai isteri sebenarnya menuntut Misha saling bertolak ansur bagi menyemai erti persefahaman dalam berkasih sayang.

Katanya, sama seperti kebanyakan pasangan lain, isu berhari raya di mana akan berbangkit menjelang tibanya 1 Syawal.

Namun bagi pasangan terbabit, Misha dan Firoz menggunakan kaedah paling praktikal iaitu sistem giliran.

“Tahun ini giliran kami pulang beraya di rumah keluarga suami yang besar kemungkinan di Negeri Sembilan.

“Raya kali ini kami tak mahu terkejar-kejar, nak elak timbul drama bergaduh, bermasam muka, tidak puas beraya di rumah mak dia, misalnya.

“Kami pernah terkandas selama 23 jam semata-mata nak pulang beraya sebelum ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS