Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Merajuk dikutuk, tiada lagi aksi 'gedik' Vida di TV

Mungkin selepas ini tiada lagi aksi glamour Datuk Seri Vida bersama produknya di antara program hiburan televisyen. Dan kata-kata "Qu Puteh Qu Puteh barulah putih" akan menjadi sejarah.

Semuanya kerana dia kini berkecil hati dan kecewa apabila dihujani pelbagai kecaman oleh orang ramai.

"Memang tidaklah. Apabila menaja saya kena kutuk. Mereka kata saya orang kampung yang tak ada kelas.

"Saya merajuk sampai terfikir, kalau tidak perlu menaja (program televisyen) lagi pun tidak mengapalah," kata Pengarah Syarikat Vida Beauty Sdn Bhd itu kepada Malaysiakini.

Vida - atau nama sebenarnya Hasmiza Othman - ditemui di majlis berbuka puasa sempena pelancaran kempen Legenda Cun Watsons di Kuala Lumpur kelmarin.

Usahawan produk kecantikan itu selama ini sentiasa mencuri perhatian orang ramai apabila tampil dengan berpakaian bergemerlapan semasa menghadiri sesuatu majlis, terutama pada program yang mendapat tajaannya.

Antara siri televisyen yang pernah ditaja Vida ialah Gegar Vaganza. Dia juga pernah muncul memperagakan pelbagai jenis mahkota dengan setiap satu bernilai tidak kurang daripada RM10,000.

Menjadi penaja utama, Vida sering dilihat tidak mahu mensia-siakan peluang untuk mempromosi produknya terutama apabila berpeluang bersiaran secara langsung.

“Kalau saya sudah menaja, maka menjadi tanggungjawab saya mempromosi produk yang ada dan menerangkan kebaikan boleh diperoleh sekiranya pengguna memakainya,” katanya.

Antara aksi Vida yang dikatakan keterlaluan adalah apabila dia merampas mikrofon daripada pengacara dan berucap sambil memuncungkan bibir.

Bagaimanapun, Vida membayangkan kaedah diguna pakai olehnya itu sesuatu yang ‘segar’ malahan tidak pernah diterapkan oleh mana-mana penaja lain.

Tak biar kebahagiaan dirampas

Mengambil alasan itu, Vida yakin, industri hiburan mungkin kurang meriah jika tiada lagi aksi ataupun keletah mencuit hati daripada seseorang sepertinya.

“Tapi saya rasa kalau tidak ada orang macam saya, dunia hiburan pun macam hambar. Ini saya bawa sesuatu yang berlainan," katanya.

Baru-baru ini juga, Vida terpaksa akur apabila produknya - Qu Gebu AP Krim - terpaksa ditarik dari pasaran atas arahan Kementerian Kesihatan kerana mengandungi racun berjadual seperti hydroquinone dan tretinoin

Ia bukan kejadian kali pertama buat Vida. Pada Januari tahun lalu dua produk Qu Puteh ditarik balik selepas Kementerian Kesihatan Malaysia dan Brunei mendapati ia mengandungi bahan merkuri.

Dihimpit masalah dalam perniagaan juga dilihat sebagai penambah sebab untuk Vida lebih berkira-kira untuk menaja sesuatu program.

Sementara itu, berkongsi mengenai sambutan Ramadan dan perayaan Aidiladha pada tahun ini, Vida menjelaskan ia membawa satu kelainan buatnya kerana dia kini memegang status J (janda).

Walaupun bergelar seorang janda selepas melalui tiga kali perkahwinan, anak kelahiran Machang, Kelantan itu dilihat sentiasa tabah.

Vida berkata, dia sebolehnya perlu kuat meneruskan hidup kerana tidak mahu episod dukanya merampas kebahagian dia bersama anak, atau menjejaskan empayar perniagaan yang dibina selama ini.

“Kelainan raya saya kali ini ialah saya seorang J (janda). Tetapi saya tidak mahu disebabkan perkara itu saya tidak gembira kerana azam kali ini adalah untuk berpuasa dan beraya di rumah baru di Meru, Klang.

“Saya dan anak tidak pulang ke Kelantan untuk beraya tahun ini tetapi berharap sanak saudara dapat bertandang ke rumah kami untuk berhari raya bersama.

“Insya-Allah raya ini akan menjadi meriah walaupun tidak lengkap dengan kehadiran seseorang,” katanya yang disahkan bercerai talak satu dengan suami Fairuz Ahmad Zainuddin sejak April lalu.

Lihat Komen
ADS