Buli: Najib minta seniman main peranan

       

Ekoran masalah buli dan gangsterisme yang semakin berleuasa kebelakangan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta agar penggiat seni dapat memainkan peranan dalam menyemai nilai murni kepada masyarakat.

Dalam majlis berbuka puasa dengan penggiat seni yang julung-julung kali diadakan hari ini, Najib berharap agar golongan berkenaan memainkan peranan bagi mengatasi masalah buli dan gangsterisme.

"Saya setuju bahawa ada kelompongan dalam masyarakat iaitu soal mengukuhkan jati diri individu bangsa kita dan negara.

"Sehari dua ini soal masalah gangster dan buli dalam masyarakat jadi perhatian umum. Saya harap tuan puan boleh mainkan peranan masing-masing untuk tanam nilai kemanusiaan yang lebih mulia di kalangan masyarakat.

"Saya harap disinilah peranan penggiat seni dan tuan puan yang bergerak dalam bidang kreatif boleh bantu kita supaya asas masyarakat boleh kita letakkan dengan pengisian lebih mulia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama sasterawan, karyawan, seniman, budayawan dan penyiar di Seri Perdana Putrajaya.

Baru-baru ini beberapa kes buli menjadi perhatian umum, antaranya kes kematian pelajar tahun tiga Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 dan remaja T Nhaveen, 18.

Zulfarhan, 21, meninggal dunia pada 1 Jun lalu dengan kesan seksa dan terbakar dari api seterika, sementara Nhaveen, 18, meninggal dunia pada Khamis setelah dipukul sekumpulan remaja.

Justeru, Najib berharap, selepas dialog TN50 diadakan bersama golongan seni, mereka dapat membantu kerajaan menangani masalah itu.

"Semoga ini antara gandingan kerjasama dan perkongsian yang boleh kita tubuhkan antara kerajaan dan tuan puan supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang jauh lebih baik sebagai masyarakat baru di bawah TN50," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda