Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bintang K-pop Taeyang jadi duta Olimpik 2018
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 1:24 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Sambutan sukan Olimpik 2018 bakal dimeriahkan dengan kehadiran pemuda yang menjadi kegilaan peminat lagu-lagu K-pop, Taeyang.

Penyanyi dan penulis lirik itu diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta dalam perlawanan musim sejuk pada Februari tahun depan di PyeongChang.

Menurut Taeyang, muzik boleh menjadi faktor penyatu rakyat berlainan negara dan budaya yang berbeza bukan merupakan halangan.

“Manusia boleh disatukan menerusi muzik tidak kira negara mana yang kamu lawati. Semasa saya membuat persembahan di negara lain, penduduk tempatan di sana menyanyikan lagu saya dalam bahasa Korea.

“Suasana itu amat mengharukan sekali gus menimbulkan keterujaan. Bagi saya, aspek itu juga boleh digunapakai pada Sukan Olimpik dan Paralimpik musim sejuk PyeongChang 2018,” tulisnya dalam Facebook rasmi PyeongChang 2018.

Taeyang atau nama sebenarnya Dong Young-bae, 29, memiliki seramai 7.4 juta pengikut di Instagram.

Taeyang seorang daripada anggota band paling popular Korea Selatan iaitu Big Bang dan menjadi artis K-pop pertama memasuki senarai berprestij Forbes bagi Celebrity 100.

Sementara itu, Penganjur dan Presiden PyeongChang 2018 Lee Hee-Beom berkata, pembabitan Taeyang mampu mendorong peminat dari generasi muda untuk turut serta menjayakan sukan berkenaan.

“K-pop mempunyai jumlah peminat yang ramai di Korea dan juga dari negara lain, justeru kami gembira dengan pelantikan Taeyang sebagai duta untuk sukan berkenaan.

“Taeyang akan membantu kami menjangkau penonton lebih muda dengan menyampaikan hasrat kami mahu terbabit dan melaksanakan sukan pada musim sejuk,” katanya.

Taeyang menyertai senarai duta dari dunia sukan dan hiburan sebagai langkah mempromosi sukan berkenaan yang akan bermula dari 9 hingga 25 Februari tahun depan.

Lihat Komen
ADS