Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Sudahlah jadikan DAP modal takut-takutkan orang Islam'
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 2:39 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Personaliti terkenal Wardina Safiyyah sedih melihat keadaan masyarakat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila tidak menunjukkan akhlak yang baik dan menggunakan kata-kata keji.

Menurut Wardina, persepsi adalah senjata yang sering digunakan oleh pemimpin-pemimpin politik sebagai agenda untuk menewaskan pihak lawan.

Justeru, dengan bermain sentimen agama dan kaum, ia dijadikan modal seputar untuk menakut-nakutkan orang Islam.

“DAP sebagai modal nak takutkan orang Islam? Sudah-sudahlah main sentimen agama. Orang sekarang dah bijak banyak.

“Tidak hairan kenapa pengikut caci maki sana sini, tengok cara pemimpin menjatuhkan pihak lawan. Suka bermain emosi. Suka gunakan agama. Suka menakutkan,” katanya di Facebook.

Pelakon sitkom Spanar Jaya itu berkata situasi di sini tidak ubah seperti situasi dihidapi Muslim yang hidup di luar negara.

Katanya, golongan minoriti itu sering ditindas dan disalah erti sebagai pemberontak hanya kerana mereka menganut berlainan agama.

Berikut perbandingan diberi Wardina antara keadaan Malaysia dan Australia


Di Australia - Muslim digelar babi
Di Malaysia - DAP atau Cina dianggap babi

(btw kesian babi)

Di Australia - Muslim mahu menguasai negara
Di Malaysia - DAP mahu mengambil alih negara

Di Australia - Muslim mahu undang-undang syariah dan tidak menghormati Kristian
Di Malaysia - DAP tidak mahu Islam. Orang Kristian tidak hormati agama Islam bla, bla, bla

Di Australia - Muslim adalah jahat, dahagakan darah, ganas, penipu, pengamal taqiyya, mereka tidak boleh dipercayai.
Di Malaysia, DAP penipu, tidak boleh dipercayai, ada agenda tersembunyi.

Di Australia - mengapa kami perlu memberi layanan istimewa kepada Muslim? Mengapa mereka memaksa kita mengikut cara mereka? (Bagi pakai tudung, bagi bilik solat, bagi makanan halal. Uish, dia antihalal, katanya duit halal bagi pada pengganas).
Di Malaysia - Kenapa kita terhina di bumi sendiri - jangan bagi muka kepada mereka. Mereka patut ikut kita bukan sebaliknya.



“Aduhai. Bila saya tengok...sama. Sama kan? Sakit nya hati bila membaca berbagai berita dan hinaan terhadap orang Islam. Sedih. Susahnya menjadi minoriti. Jadi kepada kita yang menjadi majoriti adalah amanah kita menjaga minoriti kerana itulah Islam.

“Digunakan pula oleh ahli politik demi populariti. Sangat tidak bertanggungjawab.

“Jadi saya tanya anda - kalau orang Cina membaca makian dan tuduhan anda terhadap mereka, apa agaknya perasaan mereka?” ujarnya.

Wardina menggesa agak setiap pemimpin mula menunjukkan teladan yang baik dan ia wajar bermula dari sekarang.

“Saya berdiri solidariti bersama rakan-rakan berbangsa Cina. bukan semua Melayu berfikiran begitu. Malaysia milik kami semua. Dan buat saudara seislam semua. Tunjuklah akhlak yang baik. Jangan caci maki sesama sendiri.

“Sedih tengok - Madey (tunjuklah hormat pada yang berusia), peliwat, Jibby - Macam ni akhlak kita? Saya minta semua pemimpin mula menghormati lawan mereka.

“Semua penyokong BN, PAS, DAP dan Pakatan Harapan. Tidak saya tidak percaya DAP mahu mengambil alih dan tidak hormat Islam. Saya percaya ramai yang hormati Muslim dan mereka sedar ini adalah negara Islam," katanya.

“Kalau mereka tak faham kita yang kena ajarkan. Saya tidak percaya mereka jahat sepertimana saya agama lain tidak anggap Muslim jahat. Sekarang boleh henti guna DAP sebagai modal nak takutkan orang Islam?" katanya.

Lihat Komen
ADS