Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Dalam merencana perjalanan melakar kerjayanya, pelakon Syafiq Kyle mengaku pernah diperdaya beberapa kali sebagai sepanjang tempoh lima tahun menjadi anak seni.

Jejaka berusia 25 tahun itu memberitahu, kesungguhan yang dipamerkan untuk mengembangkan namanya sebagai aktor tidak dihargai.

"Sepanjang lima tahun dalam dunia hiburan, saya sudah berjumpa dan mengenali begitu ramai orang, ada yang baik dan juga buruk.

"Semakin lama dalam bidang ini, saya banyak belajar cara berdepan hati budi seseorang," kata pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu.

Syafiq ditemui pada sidang media pelancaran tiga jenama dikeluarkannya di Kuala Lumpur semalam.

Tiga produk dilancarkan Syafiq ialah Kylez Lab; koleksi pakaian sempena musim raya, Kylez by Syafiq Kyle; dan laman sesawang untuk berkongsi karier seninya, syafiqkyle.com.

Berkongsi lanjut mengenai pengalaman hitam itu, pelakon drama Mencintaimu Mr Photographer itu berkata, harapannya pernah dikecewakan beberapa produksi.

Tahu apa wajar apa tidak

"Saya pernah tidak mendapat bayaran selepas menjalani penggambaran.

"Saya juga pernah diberitahu dapat tawaran untuk berlakon tiga filem berskala besar, tapi selepas hadir untuk sesi uji bakat akhirnya tiada sebarang maklum balas,” katanya dengan nada kecewa.

Selain itu, anak kedua daripada tiga beradik itu juga mendedahkan peluangnya untuk mendapat sesuatu tawaran pernah dicaras pelakon lain.

Walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan rintangan, ia bukan alasan untuk Naib Juara Hero Remaja musim 2011/12 itu mengalah daripada merealisasikan impian dalam bidang lakonan.

Katanya peristiwa pahit itu diambil sebagai pengalaman berharga agar dia berupaya menjadi lebih kuat untuk mengharungi cabaran pada masa hadapan.

“Daripada pengalaman lalu, selepas ini saya tahu apa yang perlu dan tidak wajar dibuat apabila diberikan sesuatu tawaran.

“Demi minat saya cekalkan semangat untuk terus berusaha memperjuangkan bakat dalam bidang lakonan ini. Syukur keluarga banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS