Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

PRU14 | Seperti sebahagian besar rakyat Malaysia, selebriti tempatan juga tidak ketinggalan menanti penuh debar detik pagi 9 Mei ini untuk sama-sama mengetahui bagaimana negara ini akan dicorakkan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Tanpa mengira parti mana akan diundi, mereka jelas turut melahirkan perasaan teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara sempena pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Bagi mengetahui sedikit sebanyak persediaan dan pendapat mengenai tarikh bersejarah itu Malaysiakini menemui beberapa selebriti untuk mereka berkongsi pandangan.

  • Shahrol Shiro

Bagaimana persediaan menjelang PRU14?

Kami pilih biru, tapi biru yang mana - tua atau muda - undi adalah rahsia. Ia bergantung kepada media sosial. Ia ada kena-mengena dengan alam siber.

Apabila dekat PRU ini semakin banyak isu diperkatakan. Kita tidak tahu sama ada betul atau tidak apa diperkatakan terhadap. Saya harap sesiapa pun yang tercalon kali ini bersiap-sedia untuk 'dibogelkan'. Sebarang benda aib mengenai mereka akan dibuka. Justeru, pasanglah 'perisai'.

Cuma apa yang saya nak ditegaskan ialah, jangan sampai politik memecahkan institusi kekeluargaan, kawan-kawan dan segala-galanya.

Saya dapati ada antara kita bergaduh hanya kerana fahaman politik berlainan. Mereka bergaduh sampai maki hamun. Tolonglah, ini negara ini demokrasi. Apa yang penting adalah anda semua harus sudah mendaftar sebagai pengundi.

Alhamdulillah, saya sudah mendaftar sebagai pengundi dan akan mengundi di Kluang, Johor. 

  • Datuk Hans Isaac

Bagaimana persediaan menjelang PRU ke-14?

Saya akan mengundi di kawasan Ampang. Ini kali ketiga saya akan mengundi.

Apakah faktor yang mempengaruhi cara mengundi kali ini? 

Saya akan lihat sama ada kawasan Ampang mengalami kemajuan atau tidak. Berdasarkan itu, saya akan menggunakan hak saya untuk mengundi.

Saya berharap rakyat Malaysia dapat mengundi secara bebas serta selesa, tidak diganggu keadaan tidak dikehendaki yang mungkin timbul di sekeliling kita.

Saya sudah pergi ke merata-rata tempat dalam dunia, termasuk ke dunia ketiga. Apa yang hendak saya dijelaskan ialah saya dapat melihat perbezaan negara ini berbanding mereka.

Kita amat mendahului berbanding apa yang dimiliki mereka, jadi hargailah apa yang ada di Malaysia. Kita undi dengan cara sihat, cara yang menuju ke hadapan dan undilah dengan positif.

Apakah situasi di sekeliling membimbangkan? 

Apa berlaku di media sosial bukan semua benda betul. Tuan-tuan dan puan-puan, kita harus fikir semasak-masaknya. Jika orang tidak mahu kita menang dan kita tidak mahu orang lain menang, pihak itu akan menulis apa saja asalkan mereka menang.

Lihatlah kemudahan disediakan, jalan raya, bangunan dan air yang kita minum setiap hari.

  • Awal Ashaari

Apa persediaan untuk PRU kali ini?

Sebagai rakyat Malaysia kita sama seperti yang lain - tidak kisahlah selebritikah, korporatkah atau orang biasa - kerana kita juga sangat teruja apabila ada pilihan raya. Bukan tiap-tiap tahun ada PRU, justeru kita sangat teruja bagi tentukan hala tuju negara untuk jangka masa lima tahun akan datang.

Namun, dalam keterujaan itu ada juga timbul kerisauan sama ada yang menang nanti mampu teruskan legasi Malaysia yang selama ini kita cintai.

Di mana akan mengundi? 

Saya Kampung Baru dan mengundi untuk Titiwangsa. Pendirian saya tetap. Jika sudah menyatakan sokongan pada sesuatu pihak, saya akan kekal dengan keputusan itu.

Saya tidak akan fikir panjang sama ada mereka mampu atau tidak. Saya yakin mereka harus diberikan masa untuk memimpin negara atau segala pembaharuan yang kita inginkan.

Jika diberi undi kepada parti lain sekali pun contohnya, tidak pasti sama ada ia mampu dilakukan dalam masa singkat. Sebab semua perkara harus dilakukan dalam jangka masa panjang.

  • Scha Alyahya

Ada kebimbangan dengan pemerintahan yang mungkin akan berganti?

Bagi Scha apabila kita tahu demokrasi, itulah salah satu asam garam. Kita perlu bersedia. Kalau dah orang pilih itu, itulah apa kita nak.

Tengoklah siapa bakal memerintah selepas ini kerana itulah wakil rakyat seterusnya.

Saya bersedia dengan apa saja keputusan akan datang. Kita kena sentiasa positif. Saya akan mengundi di zon Segambut. Kita jumpa nanti.

  • Caprice

Di mana akan mengundi kali ini?

Saya akan mengundi di Kuala Lumpur.

Apakah yang ingin dilihat dalam PRU ke-14 ini?

Saya hendak melihat perubahan. Saya mahu melihat kedua-dua parti politik kotakan apa yang mereka janjikan.

Semua orang tahu Caprice dan cara jihad saya. Saya sudah lama turun padang sejak dari zaman bersekolah rendah, menengah dan kolej. Jadi saya faham kebimbangan mereka dan akan undi orang yang akan bantu rakyat.

  • Kavitha Sidhu

Di mana anda akan mengundi?

Saya mengundi di Segambut.

Sudah tahu siapa yang akan diundi atau tunggu hingga hari penamaan calon?

Saya sentiasa galakkan orang ramai untuk mengundi kerana ia adalah hak kita. Bagi saya satu undi akan membawa perubahan besar. Saya sangat sayangkan Malaysia dan yang penting menyokong ahli politik yang jujur, tidak kira parti yang disertai asalkan mereka jujur dan buat yang terbaik untuk rakyat.

Saya harap orang yang baik-baik akan memerintah negara ini.

Jika saya tidak mengenali calon yang bertanding di kawasan saya, saya akan mengundi kerana parti mereka.

  • Datuk Yasmin Yusoff

Ini kali ke berapa anda akan mengundi?

Ini kali kedua. Nasib baik saya berada di Malaysia, dua tiga hari sebelum ini berada di luar negara dan sudah terfikir untuk pulang lebih awal. Saya akan mengundi di Selangor.

Pernah terlepas untuk mengundi sebelum ini? Mengapa? Jika berada di luar adakah sanggup pulang demi melunaskan tanggungjawab?

Memang saya pernah terlepas untuk mengundi sebelum ini. Suami saya bukan warganegara Malaysia. Apabila tidak sempat pulang saya berasa amat kesal.

Untuk PRU ke-14 ini saya memang amat teruja untuk mengundi. Kita perlu gunakan ruang yang ada sekali ini untuk membentuk negara.

  • Elaine Daly

Ini kali ke berapa akan anda mengundi dan adakah perlu pulang ke kampung?

Ini adalah kali kedua dan akan mengundi di Kuala Lumpur.

Apa perasaan menjelang PRU ke-14 ini?

Saya memang tidak sabar. Ia berlaku hanya sekali lima tahun dan keputusan yang begitu besar untuk negara ini. Kita sebagai rakya wajib tunaikan tanggungjawab itu.

Lihat Komen
ADS