Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Pagi itu, Wilco memohon maaf sekiranya percakapannya mengguris perasaan aku dan Haeri. Tegasnya, beliau menghormati perbezaan budaya di antara kami.

Pelik benar ucapan perpisahannya. Kami langsung tidak terasa hati apabila beliau menyatakan rasa hairan kerana melihat orang Malaysia tidak mengambil minuman beralkohol ketika bergembira.

Jika mahu minum, orang Malaysia perlu ke bar atau kelab-kelab malam. Di negaranya tiada kedai mamak yang boleh menjadi port lepak sehingga pagi buta – tanpa perlu minum alkohol.

Aku memberitahunya, Haeri tidak minum dan aku hanya minum sekali-sekala. Aku memang berhasrat untuk berhenti minum kerana tabiat ini sangat mahal.

Warga Islam juga sukar untuk mendapatkan alkohol di Malaysia – walau di kedai runcit sekalipun, jelasku.

“Kami perlu menunjukkan kad pengenalan dan agama Islam dinyatakan di kad pengenalan kami. Penjual tidak akan membenarkan kami membeli.

“Bagaimanapun, kes-kes terpencil tetap berlaku,” kataku sambil ketawal kecil.

Semua jenis ketagihan seperti alkohol, rokok dan membeli-belah perlu dibiaya, sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang.

Di Indonesia harga rokok masih murah. Harga minuman keras murah sedikit berbanding Malaysia. Kalau di Thailand dan Kemboja, aku agak harga minuman kerasnya jauh lebih murah berbanding mana-mana negara lain di Asia Tenggara.

Aku rasa bersalah kerana minum bir. Terasa berdosa. Beginilah manusia, sentiasa sedar tapi kemudian buat lagi dosa. Namun, aku rasa lebih baik ada kesedaran, walaupun sebentar, dari tak ada langsung.

Betulkah pegangan aku? Pandai-pandailah pilih mana yang baik dan buruk dalam hidup.

Wilco bertanya pula pada Haeri, dia tidak kisah jika aku minum bir?

“Tidak. Itu hak dia. Aku tahu yang dia tahu bahawa minum alkohol dilarang dalam Islam, tapi siapa aku untuk menghukumnya?

“Itu adalah hal di antara dia dengan tuhannya. Sebagai seorang Islam, aku boleh menasihatinya tetapi aku tidak akan mendiskriminasi orang Islam yang melakukan dosa, atau jika mereka melakukan dosa yang aku tidak pernah lakukan,” Haeri berhujah.

Have a drink

Aku tersenyum mendengar penjelasan Haeri. Fikirannya terbuka namun aku jarang melihat dia meninggalkan solat. Dia selalu bersolat, hinggakan aku berasa kerdil.

Aku sudah lama tidak bersolat. Kalaupun solat, jarang lengkap satu hari. Aku menghormati Haeri kerana tidak menghukum orang lain, seperti sikap sesetengah orang.

Ada yang hanya tahu mengherdik, mencerca mereka yang buat maksiat. Apa yang mereka tahu cuma maki-hamun dan mencaci dan tidak membimbing.

Adakalanya mereka ini menyalak kerana dosa yang dilihatnya itu adalah dosa yang mereka tidak buat. Ada pula yang melenting apabila mereka ditegur ketika membuat dosa yang digemari.

Golongan seperti ini yang membuatkan mereka yang bergelumang dalam dosa terus menjauhi agama, enggan mengenali agama sendiri, berjauhan dengan tuhan.

Mereka mahu jadi tuhan barangkali. Namun aku masih percaya kepada Tuhan yang satu itu. Moga aku diberi kekuatan untuk berubah sepenuhnya suatu hari nanti.

Itu hanyalah pendapat aku yang tak seberapa. Selepas selesai bersarapan, seorang pekerja Citi Residence memaklumkan teksi untuk Wilco dan Barbra ke lapangan terbang sudah sampai

Kami bertukar maklumat untuk berhubung di laman sosial, bersalam dan berpeluk. Teksi Blue Bird bergerak perlahan-lahan meninggalkan kami.


AHMAD FAUZAN AZAM seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine Dead Sick Society bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk Charity Zine terbitan Marhaen Litera.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine LRT dan antologi cerpen 10 Orang Gila keluaran Cukong Press. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman didiami.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pesanan, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Lihat Komen
ADS