Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Terkandas dalam ribut pasir di Taklamakan
Diterbitkan:  Dec 2, 2015 10:26 AM
Dikemaskini: Dec 11, 2015 4:12 AM

KEMBARA Suhu di kawasan Padang Pasir Taklamakan yang panas dan kering mencecah 40 darjah Celcius.

Oleh kerana terlalu panas, tiga anak muda ini berhenti untuk berteduh di dalam sebuah kolong di bawah lebuh raya.

Dengan tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi gelap dengan tiba-tiba. Tiupan angin dari padang pasir di gurun itu semakin kencang.

“Pada mulanya kami menyangka hujan akan mencurah ke kawasan ini. Akan tetapi tiupan angin bertambah kencang dengan membawa debu pasir yang halus.

“Rupa-rupanya ribut pasir sedang melanda dan kami berada di laluannya. Dengan segera kami berlindung dengan menggunakan sarung basikal yang dibawa,” kata Mohd Azrulhan Mohd Shafei kepada Malaysiakini .

Itulah pengalaman paling getir yang ditempuhi sepanjang perjalanan mereka dengan berbasikal dari kota London ke tanah air selama 16 bulan, kata pemuda berusia 25 tahun itu.

Pada asalnya, beliau memulakan kembara dengan seorang lagi teman, Muhammad Adib Mohamad Ali, 25 di kota London, 16 bulan lalu.

Seorang lagi anggota kumpulan mereka, Amirul Alis Ali, 32, menyertai mereka di Bosnia-Herzegovina.

Mereka berpisah dengan Muhammad Adib di Phnom Penh, kata Azrulhan ketika diwawancara, Ahad lalu.

Amirul Alis dan Azrulhan selamat tiba di Malaysia semalam melalui sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Amirul berkata, mereka menimba banyak pengalaman dan beliau turut belajar mengenali dirinya sendiri – “untuk lebih bersabar, berfikir dan mencari jalan penyelesaian dengan cara yang lebih cekap”.

Pengembaraan itu juga memaksa beliau untuk bertanya dan bergaul dengan masyarakat setempat di negara yang dikunjungi, katanya.

Kembara merentasi 22 negara itu mendapat tajaan daripada sebuah syarikat penerbangan AirAsia, sebuah syarikat pengeluar basikal, Cinelli, dan juga daripada sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Lihat Komen
ADS