Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Ketika kami singgah di Yaman selama empat hari pada Julai 2008, berlaku satu peristiwa yang menggemparkan umat Islam negara itu. Sebuah kedai milik warga asing di Sana’a didapati menjual minuman keras.

Kejadian ini cukup asing di negara tersebut. Ulama Yaman mengadakan persidangan membincangkan hal tersebut. Kami murah rezeki kerana sampai di Yaman pada hari persidangan tersebut.

Kami dibawa ke dewan persidangan dengan ditemani dua orang pelajar Malaysia di Yaman.

Persidangan ini akan dirasmikan oleh tokoh ulama Yaman yang juga Rektor Universiti Iman, Sheikh Dr Majid Zendani. Kami menaiki ‘servis’ (kereta sewa) ke lokasi tersebut.

Apa yang menghairankan, ketika kami menahan 'servis' tersebut, ada dua tiga orang penumpang. Setelah melihat kami seramai 10 orang, tiga penumpang tadi diminta turun dan wang mereka dikembalikan.

Kami dipersilakan naik. Pelik, 'servis' ini seolah-olah tidak ada laluan khas dan boleh bertukar-tukar penumpang di tengah jalan. Jika di Syria, ‘servis’ mempunyai laluan-laluan tersendiri. Saya tidak pasti bagaimana amalannya di Yaman.

Boleh jadi itulah satu-satunya ‘servis’ sebegitu di Yaman. Yang lain semuanya bagus barangkali. Sampai ke lokasi persidangan kami berhenti tidak jauh dari pintu masuk utama.

Apa yang mengejutkan, di setiap bangunan di sekeliling dewan persidangan itu ditempatkan anggota tentera dan penembak tepat.

Mereka mengawal lokasi persidangan dalam jarak yang jauh bagi memastikan keselamatan. Tidak lama selepas itu, rombongan Sheikh Dr Majid Zendani sampai.

Rombongan beliau diiringi oleh beberapa buah trak Toyota Prado yang lengkap dengan senapang. Masuk ke pintu pagar dewan persidangan, kami akan diperiksa rapi oleh anggota tentera Yaman. Suasana baru bagi saya.

Pengalaman mendebarkan

Lepas kawalan di pintu pagar, kami diperiksa sekali lagi oleh penganjur yang siap bersenjata dan pisau di pinggang sebelum dilepaskan masuk ke dalam dewan.

Demikianlah ketatnya kawalan keselamatan di sana. Sudah menjadi kebiasaan di Yaman, orangnya membawa senjata api secara bebas di tempat awam. Khabarnya tidak ada peraturan menghalangnya.

Jika keluar dari Sana’a menuju ke Hadramaut, kita akan bertemu dengan pos kawalan bersenjata daripada kabilah-kabilah Arab.

Setiap kabilah seperti mempunyai kuasa dan kerajaan tersendiri dan boleh memeriksa kita di tengah jalan. Sebab itu terlalu sukar untuk kerajaan mengawal rakyatnya di seluruh Yaman kerana sistem kabilah ini masih wujud.

Itu yang dikhabarkan kepada kami. Tidaklah sempat untuk kami melihatnya sendiri kerana fokus kami hanyalah di Sana’a. Namun lelaki-lelaki yang menyelit pisau bengkok yang menjadi tradisi Yaman itu suatu yang biasa boleh dilihat di mana-mana sahaja.

Persidangan ini dihadiri oleh lebih dua ribu orang ulama Yaman. Mereka berbahas secara ilmiah dan membuat resolusi bagi menyelesaikan kes penjualan arak tersebut.

Betapa sensitifnya mereka dengan perkara mungkar sebegitu dan hebatnya mereka menyelesaikan dengan perbincangan secara ilmu. Yaman sarat dengan para ilmuan walaupun negaranya agak mundur.

[Baca selanjutnya dalam buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria']


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Ketakutan, waspada pemerintah Syria

Mengapa anak muda Syria berlumba ke masjid

Masjid atau gereja? Bezanya pada menara

Runtuhan di Syria saksi keagungan Islam

Arab Syria pentingkan ilmu

Lihat Komen
ADS