Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Monas ditutup pada jam 5 petang pada hari Ahad. Kami menuju ke busway untuk pulang ke hostel. Kami sudah berjanji untuk berjumpa dengan kenalan baru kami, Stefan di sana.

Di hostel, kami duduk sambil memerhatikan beberapa orang asing yang lalu lalang. Kami pun orang asing juga. Ada gadis berambut merah asli yang menyapa kami dan berlalu pergi dengan teman lelakinya (barangkali).

Stefan muncul dan kami membuat rancangan untuk keluar makan malam. Pada asalnya berlima, kini kami hanya bertiga.

Tom, penjaga hostel mencadangkan kami mencuba sebuah restoran nasi padang di sebuah lorong di belakang hostel.

Di restoran padang, aku memesan teh botol lagi. Tak habis-habis dengan teh botol. Aku masih belum berjaya menemui kedai yang menjual teh buah di Jakarta.

Pertama kali aku merasa teh buah ketika aku pergi ke Medan beberapa bulan sebelumnya. Aku mengambil ayam, kuah pedas, begedil, sedikit sayur masak lemak, beberapa jenis sambal.

Sambil tersengih, Stefan memerhati dan kemudian meniru perbuatanku. “Pick what you want to eat,” ujar Haeri yang berada di belakang Stefan.

Jika di Medan, pelayan di restoran akan meletakkan banyak lauk di atas meja. Aku hanya menyentuh beberapa mangkuk lauk.

Perbuatanku itu ditegur oleh supir yang membawaku ke restoran tersebut. Pesannya, hanya sentuh lauk yang memang aku akan makan.

Di sesetengah tempat, pelanggan akan dipaksa membayar lauk yang disentuh, walaupun tidak dimakan. Ya, bayar walaupun hanya disentuh dan memang aku kena bayar pada waktu itu juga.

Itulah pengajaran yang aku perolehi pada waktu itu. Sebab itulah kita tidak boleh menjadi terlalu jahil di tempat orang.

Tidak salah untuk merasa beberapa kejutan di tempat asing tapi jangan sampai tidak ambil kisah langsung seperti orang yang bodoh sombong.

Tapi untuk hidangan nasi padang, tiada masalah seperti itu. Stefan pada mulanya mengambil sudu dan garfu, namun kemudian meletakkannya kembali. Dia cuba makan menggunakan tangan seperti kami.

Agak kekok tapi dia meneruskannya sehingga licin pinggannya. Yang tersisa cuma tulang serta sambal yang dia tak mampu habiskan.

Muka dan kepala Stefan dibasahi peluh akibat masakan yang pedas. Warna wajah dan kulit kepalanya yang botak nyata berbeza kerana dia berjemur di tengah panas siang tadi.

Stefan menyedari perkara itu lalu ketawa. Dia meminjam topi yang dipakai Haeri untuk menutup kepala botaknya yang berlainan warna.

Selesai makan kami berborak-borak kosong. Dari cerita mengenai kereta sehinggalah kepada sukan. Walaupun berasal dari Jerman, Stefan kurang menggemari bola sepak seperti kebanyakan rakyat Jerman.

Sifatnya agak berlawanan dengan status negara Jerman sebagai antara pasukan yang ternama dalam bidang bola sepak. Dia lebih meminati sukan bola keranjang dan berenang.

Dia menceritakan rancangannya ke Bali untuk mendaki sebuah gunung di sana. Nama gunungnya tidak kami ketahui dan mungkin akan diketahui setelah sampai nanti.

Stefan akan bertemu kawan yang berasal dari Sepanyol dan kemudian mereka akan mendaki gunung.

Kawannya lebih gemar mendaki bukit atau gunung dan dia pula lebih menyukai aktiviti air. Selepas Bali, mereka seterusnya akan mendaki Gunung Ijen dan Bromo dalam perjalanan ke Jogjakarta dari Bali.

Aku dah Haeri berharap akan dapat berjumpa dengannya lagi memandangkan kami akan mengikut laluan bertentangan nanti.

Kami menyambung cerita di hostel – soal pekerjaan, pendidikan, kisah cinta, keluarga dan bermacam-macam lagi.

Stefan pernah menetap dan bekerja di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu. Sambil bergurau, Stefan berkata, pasti dia sudah menghidap obesiti jika dia menjadi rakyat Amerika.

Terlalu banyak perkhidmatan pandu-lalu. Mesin ATM di sana juga ada perkhidmatan pandu-lalu.

Memanglah ada tokoh Amerika yang berjasa kepada dunia. Namun sesetengah orang Amerika yang bodoh memang benar-benar bodoh, katanya.

Seorang wanita AS pernah bertanya kepadanya jika wanita di Jerman juga datang haid. Kami ketawa besar.

Stefan juga bercerita mengenai masalah pengikut punk dan skinhead berfahaman neonazi di Jerman yang bencikan orang asing. Pada mereka orang asing ini mengacau peluang pekerjaan mereka.

Namun Stefan berkata kata kumpulan punk neonazi ini hanyalah golongan malas yang tidak sanggup membuat kerja yang dilakukan para imigran tapi mahu menuntut hak tersebut.

Dalam hatiku terdetik bahawa masalah imigran ini ada di mana-mana. Di Jerman kebanyakan buruh-buruh binaan adalah orang Poland.

Orang Poland dikatakan ramai juga menjadi imigran di Jerman selain Turki. Kebanyakan mereka memang kesempitan hidup.

Sama seperti di Malaysia yang dipenuhi oleh warga-warga Indonesia, Myanmar, Vietnam, Bangladesh dan lain-lain yang datang mencari rezeki.

Kebanyakan kerja mereka ini memang orang Malaysia tak mahu buat dan kenyataan ini juga mungkin terpalit kepada aku.

Tapi kita memandang hina kepada mereka yang mengadu nasib di negara orang untuk mencari rezeki buat diri sendiri dan keluarga yang jauh terpisah.

Kami bersalam dengan Stefan dan bertukar maklumat perhubungan di Facebook. Bila kami bangun untuk bersarapan pagi esok, barangkali dia sudah tiba di Bali.

[Baca selanjutnya dalam buku 'Travelog Faghuzi']


AHMAD FAUZAN AZAM seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine 'Dead Sick Society' bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk 'Charity Zine' terbitan Marhaen Litera.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine 'LRT' dan antologi cerpen '10 Orang Gila' keluaran Cukong Press. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman didiami.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pesanan, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Sedutan terdahulu:

Hari tanpa kenderaan di Jakarta

Soal bir, diskriminasi pada si fasiq

Dialog tentang agama dalam pub Jakarta

Macet teruk, Little Venice di Jakarta

Hari pertama: Tawaran bir, perempuan

Mas Jimmy, Batak yang peramah

Saki-baki pinjaman PTPTN jadi bekalan

Lihat Komen
ADS