Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Anda sanggup berkayak di Sungai Kelang?
Diterbitkan:  Dec 16, 2015 10:12 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

AKTIF MP DAP, Ong Kian Ming berkata usaha untuk membersihkan rangkaian sungai di Kuala Lumpur melalui projek Sungai Nadi Kehidupan kini masih jauh dari sasaran.

“Sampah dan bahan pencemar masih dapat dilihat dalam kuantiti besar,” katanya yang menelusuri sebahagian Sungai Gombak dengan berkayak, hujung minggu lalu.

Ekspedisi tersebut dijalankannya untuk memantau perjalanan projek Sungai Nadi Kehidupan.

Katanya, beliau dapat melihat struktur baru yang dibina untuk mengukuhkan tebing sungai serta juga perangkap sampah dan longkang besar yang mengalirkan air ke dalam sungai.

Ong mengakui bahawa sungai itu sememangnya tidak boleh dibersihkan dengan masa singkat namun kewujudan begitu banyak sampah menunjukkan bahawa usaha pembersihan perlu digiatkan.

“Lebih membimbangkan lagi, bahan pelepasan yang amat tercemar terus mengalir dari longkang besar dan anak sungai ini, seperti Sungai Bunus.

“Amat merugikan jika wang berbilion ringgit digunakan untuk membersihkan sungai tetapi tiada usaha untuk menghalang kilang dan pencemar utama lain daripada membuang sisa tidak dirawat ke dalam sungai,” katanya.

Ong juga bimbang jika projek itu kelak dijadikan alasan untuk memindahkan sesetengah penduduk yang mendiami kawasan tebing sungai tersebut tanpa sebarang hakmilik ke atas tanah.

“Kebarangkalian bahawa tanah kampung mereka akan diambil alih untuk projek komersial adalah sangat tinggi,” tulisnya.

Untuk ekspedisi pertama, Ong yang dibantu bekas penyelidiknya, Tham Pei Ting berlepas dari Kampung Bandar Dalam ke hilir Sungai Gombak pada 11 November lalu.

Perjalanan itu mengambil masa selama tiga jam, yang membawa mereka ke kawasan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra dan juga memberi perspektif baru pada MP muda itu.

Katanya, beliau antara lain dapat melihat bahawa projek Sungai Nadi Kehidupan sememangnya berpotensi untuk mencapai sasaran jika ia benar-benar dilakukan atas kepentingan awam.

Malah, ia mampu menandingi projek sama yang dijalankan di Korea Selatan dan di Singapura, kata MP Serdang itu lagi.

“Projek RoL berpotensi membawa perubahan kepada cara kita memulihara sungai dan menjadikannya sumber yang boleh dinikmati oleh semua,” katanya.

Beliau amat berharap agar projek tersebut berjaya dan membolehkan sungai di Kuala Lumpur digunakan untuk kegiatan rekreasi.

“Taman KLCC dan Taman Tasik Perdana sememangnya tempat yang indah kerana diselenggara dengan baik.

“Mengapa tidak selenggara sungai kita juga?,” soalnya.

Mengulas mengenai ekspedisi anjurannya, Ong yang gemar aktiviti lasak itu berkata ia memenatkan tetapi amat memuaskannya.

“Banyak perkara yang boleh diperhatikan dari sudut pandang dari dalam sungai ini,” tulis MP DAP itu di Facebook.

Sepanjang perjalanan tersebut, Ong dan Tham antara lainnya menempuhi kawasan jeram setinggi hingga 1.5 meter.

Beliau mengalu-alukan pihak yang berminat untuk mengikuti ekspedisi selanjutnya berkayak sepanjang Sungai Kelang – dari kawasan Jalan Kelang Lama hingga ke Pelabuhan Kelang.

Projek Sungai Nadi Kehidupan diumumkan dalam pembentangan bajet 2011, melibatkan pembersihan laluan air sepanjang 110 kilometer dengan dana berjumlah RM1.9 bilion.

Lihat Komen
ADS