Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Jamu orang M'sia, kemudian kerumun sisa makanan

TRAVELOG Sebelum mengenali sekolah Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ), Abu Abdullah sebelum ini hanya mendengar nama Malaysia melalui televisyen.

Selepas melarikan diri ke Jordan, barulah Abu Abdullah mengenali budi pekerti saudara seislamnya dari negara kita, kata Musa Nuwayri.

“Dan kamu orang Malaysia akan aku ingat sampai bila-bila. Aku janji akan layan kamu sebagaimana kamu layan aku di sini,” kata anak muda Malaysia ini, mengulangi kata-kata Abu Abdullah.

Di dalam khemah, ayam dan sosej yang dipanggang sudah siap diatur. Roti juga disediakan, entah datang dari mana roti itu aku tak perasan. Suhu dalam khemah agak panas.

Musa membelikan bekas pemanas dan membekalkan kayu untuk dijadikan bahan bakar kepada keluarga ini. Kini baru aku faham kenapa anak-anak ini tidak merembat ayam tadi.

Kami makan dalam satu bulatan, kecuali kaum wanita. Khemah ini ada penghadang di tengah-tengahnya, mungkin isteri Abu Abdullah ada di sebelah dengan Eida, anak perempuannya yang berumur sembilan tahun.

Selesai makan, kami semua bersiap-siap untuk tidur. Oleh kerana di dalam pemanas masih ada kayu api, maka suasana di dalam khemah memang terlebih panas.

Pagi esoknya kami sarapan mewah dengan susu kambing segar yang baru diperah, roti, zaitun, zaatar, lubnah, jubnah, telur dan laban.

Entah pukul berapa kami tertidur malam tadi. Keluar dari khemah, matahari begitu terik walaupun suhu di luar masih sejuk.

Kami bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada Abu Abdullah kerana membenarkan kami memanggang dan tidur di khemahnya.

Van mula menaiki jalan bertar meninggalkan khemah Abu Abdullah. Aku melihat Qurayyim melambai dari jauh sambil badannya dipegang oleh abangnya, Abdullah.

Di dalam kereta, Musa berkongsi pengalaman sukar yang pernah dialami sukarelawan TSDBJ sewaktu bulan Ramadan sebelum ini.

Setiap minggu, mereka menerima beberapa jemputan untuk berbuka puasa daripada keluarga pelarian.

Apa yang menghairankan, mereka dijamu dengan banyak makanan dalam satu majlis berbuka.

“Mereka hidang makanan mudah tapi banyak. Kami pun makan sampai lupa dunia sebab sedap.

"Bila dah kenyang, dia angkat talam kami masuk ke dapur. Dia hidang teh pula. Saya bangun basuh tangan.

“Bila melalui dapur untuk ke tandas, terus menangis, tengok anak bini dia sedang kerumun makan sisa talam yang kami tak habis tadi,” kata Musa.

Aku hanya menelan mampu menelan air liur apabila mendengar ceritanya.

“Pernah sekali, kami buka puasa rumah orang lain pula. Dia hidang makanan gila-gila punya mewah. Tak ada gaya macam orang miskin. Kami pun balun sampai kenyang.

“Ketika sedap membalun, tiba-tiba dia cakap, kami dari awal puasa sampai semalam, buka puasa dengan kurma dan air masak sahaja. Alhamdulillah. Hari ini kami makan mewah untuk raikan kamu,”

Aku berpaling semula ke arah khemah Abu Abdullah. Bayangkan lebih dari dua tahun mereka terpaksa hidup merempat di negara orang lain seperti ini.

“Terakhir, ada satu keluarga yang tinggal dalam rumah terbengkalai, tak ada tingkap. Tak ada tikar. Pemanas apatah lagi.

“Pada masa itu memang sejuk gila. Mereka ada dua keping tilam buat tidur kongsi dalam 10 orang anak-beranak. Terpaksa bakar kayu api dalam tin biskut untuk tahan sejuk.

“Rumah berasap, anak kecil pula ramai. Mereka masuk ke rumah pakai selipar, dan tempat buka selipar betul-betul di tepi tilam.

"Itulah rumah paling daif pernah saya tengok, bang,” kata siswa al-Bayt University itu lagi.

[Baca selanjutnya dalam buku 'Berlari dari Jogja untuk menemukan di dia di Christiana']


ZF ZAMIR penulis buku popular ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang'.

Tulisan ini adalah sedutan dari buku 'Berlari dari Jogja untuk menemukan si dia di Christiana', karya keempat beliau yang diterbitkan Thukul Cetak.

Sedutan terdahulu: 'Hisap ganja tak boleh, minum arak boleh'

Pesanan

Alamat: Thukul Cetak, GARAJ, 9-1A, Jln 15/1A, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi (Waze Garaj Thukul)

WhatsApp/SMS: +601114719583 (Fakhrul)

Media sosial Thukul Cetak: Facebook / Twitter / Instagram

Lihat Komen
ADS